Celahan Ahmad Fadhli gamatkan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Celahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) menyebabkan Dewan Rakyat gamat apabila membidas ahli parlimen kerajaan yang sebelum itu mendakwa ahli parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) ponteng.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat bangkit ketika Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi Kementerian Kesihatan.

Advertisement

Beliau bertanya sama ada ketidakhadiran menteri boleh dianggap ‘ponteng’ seperti yang dilabelkan terhadap ahli parlimen pembangkang yang tidak hadir, pagi tadi.

“Kalau dikatakan ponteng, bolehkah kita katakan semua menteri kecuali Menteri Kesihatan (Dr Zaliha Mustafa) ponteng? Tanya sedikit Bukit Gantang,” soalnya sambil disambut sorakan ahli parlimen PN.

Syed Abu Hussin secara berseloroh berkata: “kemungkinan ketidakhadiran menteri, disebabkan kekangan kerja. Menteri mungkin sibuk untuk agih peruntukan.”

Beliau sebelum itu menafikan ahli parlimen PN ‘ponteng’ dan memberitahu bahawa mereka memberikan sokongan kepada Himpunan Selamatkan Syariah di pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya, hari ini.

“Kami selalu hadir ke dewan ini. Bagaimanapun, pagi tadi kami ke Istana Kehakiman untuk memberikan sokongan solidariti kepada hukuman syariah. Tapi kami dikatakan ponteng. Sebenarnya tak ponteng,” katanya.

Perhimpunan anjuran PN itu bagi membantah tindakan dua individu yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Ia bagi membantah petisyen seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019. – HARAKAHDAILY 20/11/2023