Langkah terancang kerajaan sogok Ahli Parlimen Bersatu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Armada Bersatu Malaysia membuat laporan polis terhadap empat Ahli Parlimen daripada parti itu yang mengumumkan menyokong Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

- Advertisement -

Laporan itu dibuat terhadap Ahli Parlimen Kuala Kangsa Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman (MP); Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik.

Ahli Jawatankuasa Armada Bersatu Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsudin berkata, kenyataan Ahli Parlimen Kuala Kangsar yang mengumum sokongan kepada PM dianggap disogok dengan janji untuk mendapatkan peruntukan kewangan bagi kawasan parlimennya.

Katanya kenyataan ahli parlimen terbabit dilaporkan beberapa media.

“Dan pada 30 Oktober pula Ahli Parlimen Labuan mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri juga atas sogokan dan janji sokongan kewangan.

“Ia bagi penyelesaian masalah gangguan bekalan air dan bekalan elektrik. Setelah membuat pengumuman tersebut Suhaili mendedahkan bahawa telah mendapat peruntukan daripada Perdana Menteri seperti dijanjikan,” katanya pada kenyataan hari ini.

Laporan media mengenainya dengan jelas menyebut Ahli Parlimen Labuan merakam ucapan terima kasih kepada Anwar kerana berpegang pada janjinya.

Manakala pada pada 7 November pula Ahli Parlimen Gua Musang mengisytihar sokongan kepada PM bagi mendapatkan manfaat di kawasan parlimennya.

Kemudian pada 8 November Ahli Parlimen Jeli pula mengumumkan sokongan kepada PM atas sogokan iaitu janji-janji kewangan dan projek pembangunan.

Wan Meor juga berkata, pada 9 November lepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan lebih ramai Ahli Parlimen pembangkang dijangka isytihar sokong Anwar.

“Terdapat asas untuk mempercayai mereka menerima sogokan kewangan dan kemudahan untuk kegunaan mereka sendiri.

“Jelas terdapat langkah terancang kerajaan Madani untuk menyogok dan memberi suapan melalui janji-janji bantuan kewangan pada Ahli Parlimen Bersatu,” ujarnya.

Beliau juga mendakwa terdapat video yang menunjukkan identiti seorang lelaki memainkan peranan untuk menyogok dan mengugut ahli parlimen pembangkang untuk menyokong PM.

Oleh itu kata beliau keempat-empat Ahli Parlimen tersebut didesak, ditekan dan diugut dengan tindakan SPRM jika enggan memberi sokongan.

“Hal ini jelas merupakan satu salah guna kuasa oleh PM dan satu bentuk rasuah. Perbuatan ini juga menghina peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkenaan undang-undang antilompat parti dan bercanggah dengan amalan demokrasi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/11/2023

- Advertisement -