Israel bimbang 14 negara putuskan hubungan diplomatik

Menteri Luar Israel, Eli Cohen dalam sidang Parlimen Eropah di Brussels, Belgium pada 8 Nov 2023. (FOTO: REUTERS)
- Advertisement -

TEL AVIV: Israel mengakui tekanan antarabangsa terhadapnya kini meningkat dalam tempoh dua atau tiga minggu akan datang ini dan bimbang 13 hingga 14 lagi negara akan memutuskan hubungan diplomatik dengannya.

Akhbar Jerusalem Post, dalam laporannya pada Isnin (13 Nov), Menteri Luar Israel, Eli Cohen memberitahu sidang akhbar bahawa Israel hanya mempunyai dua atau tiga minggu sebelum ia kalah dalam pertempuran diplomatik di pentas antarabangsa untuk menghentikan perang ke atas Gaza.

- Advertisement -

“Dari sudut diplomatik, kami menyedari bahawa tekanan telah mula ditanggung ke atas Israel. Tekanan tidak begitu tinggi (sekarang), tetapi ia semakin meningkat,” kata Cohen.

Namun beliau menegaskan, operasi ketenteraan Israel di Gaza tidak akan berhenti sehingga kumpulan pejuang Palestin, Hamas dihapuskan dan tawanan yang ditahan di Gaza dibebaskan.

Ketika serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza memasuki hari ke-38, sekurang-kurangnya 11,180 rakyat Palestin telah terbunuh, termasuk lebih 7,700 kanak-kanak dan wanita, dan lebih 28,200 yang lain telah cedera, menurut angka terkini daripada pihak berkuasa Palestin.

Beribu-ribu bangunan, termasuk hospital, masjid dan gereja juga telah rosak atau musnah dalam serangan udara dan darat yang tidak henti-henti Israel ke atas kawasan yang dikepung sejak bulan lalu.

Lapan negara putuskan hubungan diplomatik

“Sehingga kini, lapan negara telah mengambil langkah diplomatik terhadap Israel, termasuk memanggil balik duta mereka dari Tel Aviv,” ujarnya.

Negara-negara tersebut ialah Bolivia, Chad, Chile, Columbia, Honduras, Jordan, Turkiye dan Afrika Selatan.

Diplomat tertinggi Israel itu juga berkata bahawa Kementeriannya bimbang 13 hingga 14 lagi negara boleh mengambil sikap yang sama.

“Kami berhubung rapat dengan negara-negara tersebut untuk mengelakkan kerosakan kepada hubungan kami dengan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/11/2023

- Advertisement -