Beri semua guru kuasa guru disiplin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Semua guru perlu diberi lebih kuasa supaya dapat bertindak sebagai guru disiplin dalam usaha menangani kes buli di sekolah.

Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) berkata, peraturan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan hanya guru disiplin boleh mengambil tindakan terhadap pelajar yang mempunyai masalah disiplin.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau mencadangkan peranan serta tugas unit disiplin sekolah, hal ehwal pelajar, kaunseling, semua guru dan pengawas dipertingkatkan bagi menangani masalah itu.

“Saya cadangkan semua pihak ini diperkasakan supaya sebelum berlaku sesuatu kes buli terlebih dahulu, ia dapat dikesan oleh sekolah dengan kemungkinan akan berlaku.

“Contohnya buli itu akan berlaku bila, di mana, siapa terlibat, jadi tanda-tanda perancangan melakukan buli sepatutnya boleh dikesan lebih awal oleh pihak sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam soalan tambahan pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyambut baik cadangan tersebut kerana tanggungjawab yang besar perlu digalas oleh semua pemegang taruh dalam aspek pendidikan.

Malah, katanya KPM telah melancarkan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli bagi memantau kejadian, memantau perkembangan serta mencegah kes buli di sekolah.

Katanya, kerajaan juga menambah bilangan warden sebanyak 63 peratus sejak Ogos lalu di institusi pendidikan berasrama penuh dengan nisbah tiga orang bagi sebuah sekolah.

“Kita juga melaksanakan upskilling pada ketua warden dan warden dari semasa ke semasa bersesuaian dengan tugas yang digariskan dalam Garis Panduan Tadbir Urus Sekolah MySg.

“Jadi semua program ini juga dilaksanakan termasuk dengan apa yang telah kita laksanakan seperti mana yang dijelaskan garis panduan intervensi buli di sekolah KPM,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/11/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!