ANKARA: Türkiye menawarkan penyelesaian terhadap konflik di Semenanjung Gaza ketika ini susulan kegagalan badan antarabangsa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam menanganinya.
Ketua Direktorat Komunikasi Türkiye, Fahrettin Altun dalam artikel yang ditulis untuk majalah Sepanyol, Atalayar pada Sabtu lalu, berkata, adalah ‘jelas bahawa organisasi antarabangsa mesti ditubuhkan berdasarkan abad baharu dan era baharu’.
Dalam artikel berjudul, Erdogan’s Turkiye offers solutions where the UN has failed, Altun menekankan bahawa Ankara sedang bersedia untuk kesatuan antarabangsa ‘multi-dimensi’ dan ‘multi-actor’ (pendekatan digunakan untuk memastikan penyelesaian teknikal yang baru dibangunkan memenuhi keperluan kehidupan sebenar) yang baharu selaras dengan pernyataan Presiden, Recep Tayyip Erdogan yang sering disebut bahawa, “Dunia adalah lebih besar daripada lima,” merujuk kepada lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB – Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Rusia, dan China.
“Sehubungan itu, dalam enyelesaikan masalah global dan serantau, Türkiye telah menggunakan saluran kemanusiaan dan diplomatik dengan berkesan, serta instrumen moden interaksi antara negara, seperti diplomasi awam,” kata Altun.
“Dengan kejayaan yang dibuat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Türkiye dihormati dalam keseimbangan antarabangsa dan berjaya memenuhi peranannya sebagai playmaker dalam isu serantau, terutamanya di Timur Tengah dan Caucasus,” tambahnya.
Mengenai konflik Israel-Palestin, beliau berkata ‘pendirian politik berorientasikan penyelesaian’ yang diperjuangkan di bawah kepimpinan Erdogan, yang menekankan aspek kemanusiaan dalam isu itu, menunjukkan fakta tersebut adalah berkesan.
“Seperti yang ditunjukkan oleh Ukraine, Karabakh dan isu serantau yang lain, ketika Republik (Türkiye) memasuki abad kedua, Türkiye telah menjadi pemain utama dan negara terkemuka di rantaunya,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/11/2023