Karnival Hulubaley himpun 300 penggiat seni Silat Jawi 

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pertubuhan Seni Silat Jawi Kelantan, pemilik berdaftar ‘Penunjuk Geografi – Kain Tenun Punca Potong Kelantan’ yang mengharumkan nama Kelantan melalui pemerkasaan warisan tekstil negara akan menganjurkan Karnival Hulubaley Bersenu Tanah Jawi 2023.

Karnival itu akan diadakan di Gelanggang Silat Jawi Kampung Limbat, Pasir Mas pada 25 Nov pada jam 2 petang.

- Advertisement -

Menurut satu kenyataan pada hari ini, dimaklumkan bahawa karnival tersebut  akan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri, Datuk Kamarudin Md Nor.

Seiring dengan itu, Ketua Pengarah, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Kamal Kormin akan melakukan penyerahan sijil Penunjuk Geografi bagi ‘Kain Tenun Punca Potong Kelantan’.

Kain tenun punca potong merupakan kain tradisi masyarakat Kelantan yang berabad digunakan dan Sultan, pembesar negeri dan hulubalang negeri Kelantan. 

Bagaimanapun, kain terbabit telah terhenti dihasilkan dipercayai sejak tahun 1940-an. Sekarang telah pupus dan tiada dijual di pasaran.

Menurut persatuan terbabit usaha bagi pemuliharaan dilakukan pihaknya agar kain tenun tradisional Kelantan terus dimartabatkan oleh generasi akan datang. 

Katanya juga, sempena karnival tersebut antara aktiviti yang menarik penyerahan Surat Niat Kerjasama antara Universiti Malaysia Kelantan dan Pertubuhan Seni Silat Jawi Kelantan. 

“Kerjasama itu merupakan kajian dan pembangunan bagi ‘Rejuvenasi Kain Tenun Punca Potong Kelantan’.

“Di samping itu, karnival turut menyajikan persembahan silat Jawi oleh wakil guru dari 10 jajahan di Kelantan yang menghimpunkan 300 penggiat kesenian Silat Jawi dari seluruh negeri ini,” ujar kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 10/11/2023