Pemimpin PH perlu konsisten kebebasan media

Ahmad Fathan Mahmood
- Advertisement -

KOTA BHARU: Agenda kebebasan media dan bersuara yang diperjuang pemimpin Pakatan Harapan (PH) ketika berada di barisan pembangkang perlu diterjemah ketika menerajui kerajaan Pusat sekarang.

- Advertisement -

Bekas Pengarah Urusetia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Kelantan Ahmad Fathan Mahmood berkata, situasi yang berlaku sekarang tidak mencerminkan apa yang dilaung pemimpin PH sebelum ini.

Katanya, kebebasan bersuara semakin terhimpit di bawah kerajaan Madani sekarang sehingga tokoh wartawan tampil bersuara apabila beberapa laman berita disekat sebelum ini.

“Sekatan itu begitu ketara menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini sehingga Tiktok Menteri Besar Kedah pun disekat.

“Begitu juga laman-laman berita lain yang mengkritik kerajaan disekat seketika dengan alasan 3R dan pelbagai lagi,” katanya di sini.

Oleh itu kata beliau kerajaan Madani perlu konsisten memperjuangkan kebebasan bersuara dan media selagi ia tidak menggugat kestabilan negara.

Namun menurutnya apa yang berlaku sekarang kerajaan Madani dilihat bimbang aliran maklumat di media tradisional, laman berita dan media sosial menggugat kerajaan dan bukannya kestabilan negara.

“Kerajaan dilihat agak kelam kabut apabila rakyat bercakap mengenai kemelut ekonomi, mata wang semakin jatuh dan kebebasan bersuara.

“Sedangkan rakyat meletak harapan tinggi kepada kerajaan bagi menyelesaikan kemelut ekonomi, namun apabila yang berlaku kos sara hidup semakin meningkat,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/11/2023

- Advertisement -