Ummah perlu pertahan perundangan Islam dicabar

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan tetap mempertahankan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 daripada dicabar mana-mana pihak.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Mohd Asri Mat Daud berkata, perundangan Islam perlu terus dipertahan kerana ia berkait rapat dengan agama.

Katanya isu yang menyentuh soal agama amat tidak wajar dicabar oleh mana-mana pihak.

“Sekiranya perkara ini berlaku ia memberi implikasi sangat besar kepada seluruh undang-undang di Mahkamah Syariah di negara ini.

“Justeru, kerajaan Kelantan menyeru dan mengajak seluruh masyarakat menyatakan sokongan bagi mempertahankan enakmen tersebut,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.

Sebelum ini, seorang peguam dan anaknya dilapor mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dengan menyifatkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah.

Mohd Asri juga berkata, kerajaan perlu membuat pindaan perlembagaan bagi memastikan perundangan Islam tidak boleh dicabar mana-mana pihak.

Oleh itu menurutnya himpunan Munajat Pertahan Enakmen Syariah dan Solidariti Palestin akan diadakan di Stadium Muhammad IV pada 18 November ini.

Kata beliau himpunan itu sebagai solidariti mempertahankan serta mengelak peruntukan dan kesalahan jenayah syariah di negara ini terus dicabar.

“Kami menyasarkan 80,000 hingga 100,000 rakyat Kelantan dan negeri-negeri lain akan menghadiri perhimpunan tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/11/2023

- Advertisement -