KUALA LUMPUR: Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) meminta kerajaan menaik taraf GiatMara di Kuala Langat kepada GiatMara Prima.
Beliau berkata, ini berikutan tambahan peruntukan untuk program GiatMara meningkat daripada RM24.5 juta kepada RM40 juta.
“Saya minta.. GiatMara di Kuala Langat ini yang ditubuhkan sejak 1987 di tapak balai polis dengan status tanah rizab polis seluas tiga ekar dinaik taraf.
“Pusat GiatMara (Kuala Langat) hanya menawarkan dua bidang kemahiran yang menampung seramai 25 orang setiap bidang,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan peringkat jawatankuasa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, peningkatan kepada GiatMara Prima akan memberi peluang lebih banyak kepada belia untuk mendapat kemahiran, terutama berikutan pembangunan yang begitu pesat di Kuala Langat.
Sementara itu, beliau berkata peruntukan kepada FELCRA meningkat daripada RM351.4 juta kepada RM415.8 juta, tetapi terdapat masalah di Felcra Batu 8, Sijangkang dan FELCRA Jenjarom.
“Saya lihat keadaan tidak terurus, terutama sistem perparitan dan jalan yang menjadi seolah-olah kawasan takungan kerana seolah-olah tidak diselenggara dan hari ini menjadi punca banjir,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!