Perang Hamas-Israel lemahkan kuasa hegemoni

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Konflik perang Hamas-Israel sejak 7 Okt yang belum menunjukkan tanda-tanda reda bakal melemahkan kuasa hegemoni.

Penganalisis Sosio-Ekonomi di Pusat Penyelidikan Strategik, Ahmad Fauzi Mustafa berkata demikian susulan pergolakan di Semenanjung Gaza itu dikhuatiri bakal memberikan kesan yang cukup mendalam terhadap sektor ekonomi global pada masa akan datang. 

- Advertisement -

“Dalam hal ini, kuasa hegemoni berupaya membentuk kestabilan antarabangsa, sekaligus memelihara rantaian ekonomi serantau. 

“Hegemoni bermaksud penguasaan atau kawalan politik, ekonomi atau tentera sesebuah negara ke atas negara yang lain,” katanya kepada HarakahDaily.

Menurut beliau, sejarah pernah mencatatkan bahawa jika kekuatan ekonomi sesebuah kuasa hegemoni itu lemah, ia akan turut memberi kesan terhadap kekuatan politik dan kuasa ketenteraan.

“Sebagai contoh, kuasa hegemoni Great Britain mulai lemah dalam tahun-tahun awal selepas Perang Dunia Pertama, setelah mengalami kesan ekonomi yang buruk akibat daripada perbelanjaan peperangan yang besar dalam empat tahun (dari 1914 hingga 1918).

“Selepas mengalami kemelesetan ekonomi ekoran Perang Dunia Pertama, Great Britain tidak dapat memainkan peranan yang berkesan dan pengaruhnya mulai lemah. Faktor kelemahan ekonomi ini mempengaruhi kuasa politik dan ketenteraan. 

“Keadaan yang sama juga berlaku kepada kuasa ‘counter-hegemony’ Soviet Union yang mengalami kelemahan ekonomi mulai pertengahan tahun 1980-an. Ia menjadi lemah dan pengaruhnya menurun sehingga runtuh pada tahun 1991,” jelasnya. 

Ahmad Fauzi turut memberitahu, sudah tentu beberapa peperangan yang berlaku di dunia moden sekarang ini seperti peperangan Ukraine-Rusia, Syria, Iraq dan Afghanistan serta terkini Palestin dengan negara haram Israel akan terus memberi kesan kepada ekonomi serantau, merentas benua kerana ia saling berkait dalam ekonomi global.

Katanya lagi, pada masa kini pun telah berlaku kenaikan harga tenaga dan barangan akibat perang Ukraine-Rusia termasuklah sekatan ekonomi ke atas Rusia yang menjejaskan pendapatan rakyat dan perniagaan di negara tersebut.

“Justeru, kalau kita lihat sendiri krisis kemanusiaan yang melampau di Gaza, ekonomi di sana lumpuh sama sekali. 

“Harga barang dan tenaga jauh lebih mahal daripada emas disebabkan keperluan yang amat tinggi.

“Kelumpuhan ekonomi sedang berlaku dengan pesatnya dan negara-negara Timur Tengah seharusnya bersedia untuk mendepani keadaan yang sangat genting itu. 

“Jangkaan konflik Palestin dan negara haram Israel pasti merebak jika tidak dihentikan segera pembunuhan yang disengajakan ini,” terang beliau.

Perang Ukraine-Rusias telah menyebabkan kenaikan harga tenaga dan barangan di peringkat global.

Justeru, Ahmad Fauzi menegaskan bahawa dunia ini luas tetapi persoalan besar sekarang ialah adakah ia boleh terjejas akibat sesuatu konflik perang yang berlaku dalam satu kawasan yang terlibat?

“Adakah isu Palestin-Israel benar-benar memberi kesan kepada New Zeland, Australia, Indonesia, Mexico, Fiji, Afrika Selatan malahan Brunei atau Malaysia sendiri?

“Jawapan saya ialah ya, memang benar ia  saling berkait antara satu sama lain,” tegasnya.

Tambah beliau, dunia sekarang ini bergerak sangat pantas, moden dan berada dalam lingkungan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

“Kemasukan Pelaburan Langsung Asing (FDI) tidaklah semudah yang disangka kerana beberapa faktor termasuk kestabilan kerajaan itu sendiri, jaminan politik dan keselamatan serantau, reputasi negara berkenaan, sistem struktural perekonomian yang diamalkan dalam sesebuah negara itu serta pendekatan mesra-pelaburan.

“Ini semua akan diambil kira, malahan tidak tentu sesebuah pelaburan itu berjaya direalisasikan walaupun sudah menandatangani MoU dan kemudiannya diluluskan tetapi ada kalanya belum dimuktamadkan.

“Dengan hanya satu kekunci dari telefon bimbit dan komputer riba, transaksi perniagaan boleh dilaksanakan dengan sekelip mata sahaja,” ujarnya.

Dalam hal ini, ungkap beliau lagi, pelabur dan usahawan tidak perlu untuk pergi ke sesebuah negara, hanya memadai menerusi hubungan niaga dua hala atau pelbagai hala secara talian. 

“Malahan rundingan niaga juga boleh dibincangkan secara real-time bagi memantau persekitaran peluang ekonomi sama ada berbaloi untuk melaksanakan pelaburan atau sebaliknya.

“Sudah tentu sikap berhati-hati dan membuat penilaian lebih terperinci akan diperhalusi kerana ia merangkumi dengan pelbagai faktor termasuklah polisi dan agenda sesebuah negara tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/11/2023

- Advertisement -