Lintasan Rafah dibuka semula dari Gaza ke Mesir

Sebuah keluarga membawa bagasi mereka ketika rakyat Palestin, termasuk pemegang pasport asing, menunggu di persimpangan laluan di sempadan Rafah selepas pemindahan digantung berikutan serangan Israel ke atas ambulans, di Rafah di selatan Semenanjung Gaza, pada 5 Nov 2023. (FOTO: REUTERS)
- Advertisement -

GAZA/KAHERAH: Berpuluh-puluh pemegang pasport asing dan beberapa mangsa yang cedera melintasi laluan di sempadan Rafah dari Gaza ke Mesir pada Isnin (6 Nov), tiga hari selepas laluan itu ditutup.

Pihak berkuasa Mesir berkata, kira-kira 80 pemegang pasport dwi-kerakyatan dan 17 mangsa yang cedera bergerak menerusi laluan tersebut dari Rafah ke Mesir pada awal petang Isnin, manakala 48 trak bantuan pula bergerak menuju ke Gaza.

- Advertisement -

Sebelum ini, pihak berkuasa sempadan Gaza pula dalam kenyataannya berkata bahawa rakyat Mesir dan warga asing yang sudah berada dalam senarai pra-lulus yang dikeluarkan sejak Rabu (1 Nov) lalu akan dibenarkan melalui lintasan itu, satu-satunya jalan keluar dari Gaza yang tidak bersempadan dengan Israel.

Menurut kenyataan kerajaan Mesir, laluan warga asing dan keluarga masing-masing, serta warga Gaza yang cedera, tidak dapat menggunakan lintasan tersebut sejak Sabtu (4 Nov) selepas serangan Israel ke atas ambulans di Gaza, lapor Reuters.

Sementara data daripada  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan aliran trak bantuan yang memasuki Gaza melalui laluan tersebut telah berkurangan kepada  hanya 25 trak pada Ahad (5 Nov) berbanding angka  tertinggi 102 trak pada Khamis (2 Nov) lepas

Sehubungan itu, kerajaan Mesir telah mendapatkan jaminan untuk keselamatan ambulans yang digunakan untuk pemindahan merentasi laluan tersebut, termasuk pengiring daripada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC).

“Sebarang usaha untuk mendapatkan konvoi ambulans untuk membawa mangsa yang cedera ke lintasan Rafah mesti diiringi oleh ICRC dan kenderaan PBB untuk melindungi mereka,  supaya mereka tidak dibom seperti yang berlaku dengan konvoi sebelum ini,” ujar kenyataan pejabat media kerajaan yang dikendalikan Hamas.

ICRC berkata ia telah mengiringi konvoi empat ambulans pesakit dari hospital al-Shifa di Bandar Gaza ke sempadan Rafah pada hari Isnin.

Pihak berkuasa Palestin telah menerbitkan senarai individu  yang diluluskan untuk pemindahan melalui lintasan Rafah oleh pihak berkuasa Mesir dan Israel bermula dari 1 hingga 5 Nov lalu.

Setakat ini, Israel masih tidak membenarkan penghantaran bahan api, yang amat diperlukan bagi membekalkan air bersih, penjana kuasa hospital dan penghantaran bantuan, daripada memasuki Gaza dari Mesir. – HARAKAHDAILY 7/11/2023

- Advertisement -