Masalah stok minyak masak: Bayaran subsidi pembekal lambat

Rosol Wahid
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Masalah kekurangan bekalan minyak masak di pasaran tempatan kekal berterusan sehingga sekarang dikhuatiri turut berpunca daripada kelewatan proses bayaran subsidi kepada pihak pembekal oleh pihak kerajaan.

Dato’ Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) berkata, dalam pada rakyat terpaksa membeli barangan lain sebagai syarat untuk mendapatkan bekalan minyak masak, bayaran subsidi kepada pembekal juga berkemungkinan turut menjadi punca masalah tersebut.

- Advertisement -

“Mereka (rakyat) mahu beli minyak masak tetapi ada yang terpaksa beli barang lain sebagai syarat untuk beli minyak masak.

“Seperti yang dinyatakan tadi ini, salah satunya (masalah kekurangan bekalan minyak masak) disebabkan oleh penyeludupan, ketirisan dan sebagainya,” katanya ketika membuat celahan ucapan dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, di Dewan Rakyat.di sini, hari ini.

Namun, beliau turut mempersoalkan bahawa masalah tersebut berkemungkinan juga berpunca daripada kelewatan bayaran subsidi kepada pihak pembekal.

“Setuju ke tidak jika saya kata, kekurangan (bekalan minyak masak) ini adalah disebabkan juga (punca) kelambatan pihak Kementerian Kewangan Malaysia untuk membayar subsidi kepada pengguna atau pembekal minyak.

“Hal ini menyebabkan kilang-kilang tidak mampu untuk mengeluarkan minyak, mereka sudah kehabisan modal kerana modal yang digunakan terlalu besar,” tegasnya.

Justeru, beliau memberi cadangan kepada pihak kementerian tersebut  agar mengadakan dua harga iaitu harga domestik dan harga luar.

“Apakah ada perancangan atau tindakan dari pihak kementerian dengan komuniti untuk mengadakan (konsep) dua harga iaitu harga domestik dengan harga luar bagi  meringankan beban kerajaan dalam menangani masalah (kekurangan bekalan minyak masak) ini?” katanya. – HARAKAHDAILY 1/11/2023

- Advertisement -