RMMK: Kerajaan negeri tanggung subsidi RM50,000

- Advertisement -

PASIR MAS: Kerajaan negeri menanggung sebahagian kos pembinaan dalam bentuk subsidi bagi membantu rakyat Kelantan memiliki rumah sendiri.

- Advertisement -

Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerajaan negeri terpaksa menanggung kos kira-kira RM50,000 setiap unit Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK).

Katanya, nilai sebenar RMMK yang dibeli rakyat Kelantan di bawah harga pasaran semasa.

“Anggaran keseluruhan subsidi kerajaan negeri berjumlah RM4 juta, itu tidak termasuk harga tanah,” katanya pada Majlis Penyerahan Kunci RMMK di Taman Kebun Raja di Meranti, hari ini.

Hadir sama Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah, anggota-anggota Exco, wakil rakyat dan pegawai kerajaan.

Pada majlis itu 59 unit Rumah Mampu Milik Kelantan yang berharga RM85,000 hingga RM130,000 seunit diserah kepada pembeli.

Projek tersebut di bawah seliaan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) bersama PMBK Development Sendirian Berhad.

Mohd Nassuruddin juga berkata, sehingga sekarang sebanyak 1,435 unit RMMK siap dibina dan 334 unit dalam pembinaan di seluruh Kelantan.

Menurutnya juga sebanyak 308 unit RMMK dalam perancangan kerajaan negeri dalam tempoh lima tahun.

Sementara itu Hilmi berkata, 59 buah unit RMMK Taman Kebun Raja merupakan perumahan yang lengkap dengan kemudahan infrastruktur asas. – (UPKN)

- Advertisement -