Selalu ikut bapa ke masjid, Ramadan mudah menghafal

- Advertisement -

LAHAD DATU: Johan Hafazan Alam Ria PASTI Zon Timur, Muhammad Ramadan Amir selalu mengikut bapa ke masjid menyebabkan dia mudah menghafal surah al-Quran.

- Advertisement -

Menurut ibunya, Suhbainun Lasuboh, sejak berumur dua tahun lagi, Ramadan selalu mengikut bapanya ke masjid.

Ini, katanya kerana pada masa itu beliau baru melahirkan anak.

“Kami tidak perasan lagi dia kuat menghafal sehingga semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) tiga tahun lalu, kami solat tarawih di rumah.

“Semasa bapanya menjadi imam telah membaca surah dengan suara yang keras. Beberapa hari kemudian, kami dengar Ramadan main sambil membaca surah yang selalu dibaca oleh bapanya ketika solat,” ujarnya kepada Harakahdaily selepas majlis semalam.

Katanya, pada masa itu, anak pertama daripada dua beradik itu hanya mampu membaca penghujung ayat sahaja kerana masih belum lancar bercakap.

Alam Ria PASTI Zon Timur telah berlangsung di SRITI Kinabatangan dengan mempertandingkan beberapa acara iaitu hafazan, sajak dan bercerita bagi kategori lelaki dan perempuan. Selain itu, turut diadakan acara azan dan membaca kutbah lelaki, pidato perempuan dan nasyid.

PASTI Lahad Datu telah menjadi johan bagi semua acara kecuali hafazan perempuan sekali gus menjadi Johan Keseluruhan Alam Ria PASTI Zon Timur.

Tempat ke dua disandang oleh PASTI Kinabatangan, ketiga PASTI Beluran dan keempat PASTI Telupid.

Majlis telah dirasmikan oleh Yang Dipertua PAS Kinabatangan Ustaz Abdul Aziz Baitul Makmur.

Turut hadir Pengerusi PASTI Telupid dan Lahad Datu, Mohd Fardiansyah Musa dan Landari Labobo. – HARAKAHDAILY 30/10/2023

- Advertisement -