Tidak manfaat R&D pelbagai produk makanan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mempersoalkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang tidak memanfaatkan program penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menyokong agenda keterjaminan makanan negara.

Menurutnya, pelbagai perancangan dalam sektor pertanian dan penternakan dilaksanakan oleh agensi di bawah KKDW seluruh negara bagi menghasilkan bahan makanan.

- Advertisement -

Namun, katanya kerajaan dilihat tidak mahu melaksanakan R&D dan hanya bergantung kepada hasil pengeluaran pertanian tanpa mengambil kira keperluan dan kos sara hidup rakyat.

“Banyak rancangan yang sudah dilaksanakan, cuma saya melihat sejauh mana perancangan untuk menjadikan negara kita yang kaya dengan pelbagai produk dapat diterjemahkan melalui R&D untuk mempelbagaikan hasil pertanian.

“Kalau kita lihat di Jepun ada wasabi dan pelbagai produk dikeluarkan dari wasabi. Namun, hasil pertanian kita seolah-olah tidak ada yang boleh menghasilkan tanaman lain yang akan mempelbagaikan makanan kita,” katanya ketika mencelah penggulungan perbahasan Belanjawan 2024 KKDW di Dewan Rakyat, hari ini.

Namun, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Rubiah Wang berkata R&D sentiasa dilaksanakan oleh agensi di bawah kementerian.

Katanya, tugas kementerian hanya memberi sokongan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memastikan keselamatan dan keterjaminan makanan negara.

Malah, katanya agensi pembangunan wilayah seperti Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) diarahkan supaya memperkasakan sektor pertanian dan penternakan.

“R&D memang selalu dibuat oleh agensi pembangunan wilayah untuk memastikan tanaman dan hasil ekonomi kita membantu keterjaminan makanan, namun ketika ini hasil hanya cukup untuk pasaran mentah.

“Insya-Allah dalam perancangan kita untuk memastikan apa yang disebut oleh Temerloh tadi untuk memperluaskan tanaman ke arah skala lebih luas,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/2023