Apa status penajaan pelajar perubatan, pergigian dan farmasi?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini untuk menghentikan penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi menyebabkan Ahli Parlimen Kuala Langat meminta kerajaan menyatakan pendirian berhubung isu ini.

Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, negara pernah dikejutkan dengan keputusan KKM untuk menghentikan penajaan itu bagi mengatasi masalah lambakan doktor bermula tahun 2026.

- Advertisement -

“Berkaitan tajaan JPA, bagaimana pula dengan pelajar bidang pergigian dan farmasi, adakah akan diteruskan,” katanya ketika mencelah sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2024 Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas) di Dewan Rakyat, hari ini.

Dato’ Armizan Mohd Ali menjelaskan bahawa pendirian kerajaan terhadap penajaan JPA dalam ketiga-tiga bidang berkenaan tidak berubah.

Menurutnya, ini bergantung kepada kajian dan unjuran KKM dan JPA bagi menentukan masa depan penajaan bidang berkenaan.

“Pendirian kerajaan terhadap tajaan JPA kepada pelajar perubatan sama ada diteruskan atau sebaliknya…JPA akan teruskan tajaan kepada pelajar bidang perubatan selagi terdapat keperluan guna tenaga pegawai perubatan.

Armizan sebelum ini pernah dilaporkan berkata, Laporan Petunjuk Kesihatan 2022 menyatakan pencapaian nisbah jumlah keperluan tenaga kerja perubatan seluruh negara kepada jumlah populasi penduduk sehingga Disember 2021 adalah 1:420 dan dijangkakan nisbah 1:400 akan dicapai pada 2025.

Berikutan itu, KKM akan menghentikan penajaan JPA dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi, berikutan bekalan pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran mulai 2026 hingga 2030. – HARAKAHDAILY 30/10/2023

- Advertisement -