Pengurus Lyon cedera parah bas diserang di Marseille

Keadaan cermin bas yang pecah selepas dibaling batu (gambar besar) dan Fabio Grosso (tengah dalam gambar kecil) mengalami kecederaan pada bahagian mukanya dalam kejadian di Marseille, Paris, Perancis pada 29 Okt 2023. (FOTO: The Sun)
- Advertisement -

MARSEILLE, Paris: Perlawanan aksi Ligue 1 antara Lyon dan Marseille ditangguhkan selepas bas yang membawa pasukan Lyon dibaling batu ketika dalam perjalanan ke Stade Velodrome pada hari Ahad (29 Okt).

Lyon dalam kenyataannya berkata Pengurus pasukan itu, Fabio Grosso dan pembantunya, Raffaele Longo terkena kesan balingan batu itu  dan mengalami kecederaan di muka sambil menambah: “Pihak kami kesal dengan insiden yang tidak boleh diterima ini.”

- Advertisement -

Enam jurulatih penyokong pelawat itu turut disasarkan sebelum perlawanan antara Marseille yang berada di tangga ke-10 dan Lyon di tangga terbawah, yang sepatutnya bermula pada jam 19:45 GMT (waktu tempatan) pada Ahad itu.

“Pihak kami kesal kerana situasi seperti ini berlaku setiap tahun di Marseille; dan mahu  pihak berkuasa untuk mengambil kira keseriusan dan pengulangan kejadian seperti ini sebelum tragedi yang lebih serius berlaku,” ujar kenyataan itu.

Menurut kelab itu lagi, beberapa individu ‘menyerang dengan ganas’ bas pasukan Lyon selepas tingkap dipecahkan oleh balingan batu, dengan imej di media sosial menunjukkan Grosso berlumuran darah terbaring di atas pengusung. 

Visual Fabio Grosso yang berbalut di bahagian atas mukanya selepas mengalami kecederaan dalam kejadian bas yang dinaiki pasukan bola sepak diserang balingan batu dan beberapa objek lain dalam kejadian pada 29 Okt 2023. (FOTO: Reddit)

Pasukan pelawat itu pada mulanya mahu meneruskan dan bermain dalam perlawanan berkenaan, tetapi  berubah fikiran dengan mengambil kira  keadaan mental pemain susulan kejadian serangan tersebut.

“(Grosso) tidak boleh bercakap, dia mempunyai serpihan kaca di mukanya,” kata Presiden Lyon, John Textor kepada Prime Video.

“Saya sangat marah – pemain kami, jurulatih kami, kesemuanya sudah bersedia untuk (perlawanan) malam ini (Ahad) dan peminat mahu melihat permainan itu dimainkan.

“Sebaik tingkap bas dipecahkan, objek-objek lain mengenainya (Grosso), tepat di atas mata. Terdapat botol bir, yang mengenai dahinya,” tambahnya

Pihak Lyon kemudiannya mengeluarkan rakaman Grosso yang  berbalut di atas mata;  dan pemain mereka mengucapkan terima kasih kepada peminat dalam perjalanan meninggalkan  stadium perlawanan.

Barisan pasukan bola sepak Lyon yang sepatutnya bertemu Marseille dalam aksi Lique 1 di Stade Velodrome, Marseille pada petang Ahad, 29 Okt 2023. (FOTO: Sports.Timesofmalta).

Sementara itu, Presiden Marseille, Pablo Longoria berkata, serangan itu “tidak boleh diterima sama sekali”, sambil menambah: “Fikiran pertama saya adalah untuk Fabio Grosso, seorang yang saya hormati dan kenali sejak sekian lama.

“Saya pergi berjumpa dengannya sebaik tiba di stadium, saya melihat keadaan (kecederaan)nya.” 

Marseille mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa kelab itu mengharapkan pemulihan segera  jurulatih Lyon, Fabio Grosso dan mengutuk sekeras-kerasnya tingkah laku ganas ini yang tidak mempunyai tempat dalam dunia bola sepak dan dalam masyarakat.

“Disebabkan oleh segelintir orang yang tiada akal, permainan yang dirancang untuk petang ini telah rosak dan menghalang 65,000 penyokong untuk menghadiri perlawanan bola sepak,” tambah kenyataan itu.

Fabio Grosso baru sahaja dilantik sebagai Pengurus Lyon pada Sept 2023 menggantikan Laurent Blanc yang dipecat. (FOTO: OL.fr)

Berikutan serangan itu satu mesyuarat krisis telah dipanggil, yang kemudian  telah memutuskan bahawa permainan tidak boleh diteruskan. 

Badan induk bola sepak Perancis,  LFP berkata Suruhanjaya Persaingan akan memutuskan langkah seterusnya.

Marseille dalam kenyataan balasnya berkata, ia  akan mematuhi sebarang keputusan yang dibuat mengenai masa depan perlawanan itu tetapi berharap ia berlangsung secepat mungkin dan dalam keadaan terbaik di Velodrom Stade.

Dalam pada itu, Menteri Sukan Perancis, Amelie Oudea-Castera berkata: “Melihat bas yang direjam seperti itu, wajah berdarah Fabio Grosso… Ini adalah tindakan yang tidak boleh diterima yang bertentangan dengan nilai bola sepak dan sukan.

“Saya harap siasatan dapat dijalankan dengan cepat, pesalah ditemui dan mereka dikenakan hukuman berat.”

Pakar bola sepak Perancis Julien Laurens, menulis di X, menyifatkan ia sebagai ‘imej yang mengerikan untuk bola sepak Perancis’.

“Betapa ia kekacauan yang memalukan. Ini bukan kali pertama ini berlaku (dan bukan yang terakhir yang menyedihkan) tetapi saya tidak mempunyai kata-kata untuk ini. (Ia) Tidak boleh diterima lagi,” tulisnya di X.

Terdahulu, juara Perancis tujuh kali, Lyon telah melantik Grosso, 45, sebagai pengurus mereka pada Sept 2023 selepas bekas bek tengah Perancis, Laurent Blanc dipecat. – HARAKAHDAILY 30/10/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!