Isu larangan takbir: KDN harus bertanggungjawab

Ahmad Yahya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang seharusnya bertanggungjawab terhadap isu larangan menghina Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan laungan takbir dalam Perhimpunan ‘Freedom for Palestine’ yang telah berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 22 Oktober lalu.

Ketua Dewan Ulamak PAS, Dato’ Ahmad Yahaya berkata demikian mengulas tentang Pengerusi Viva Palestina Malaysia (VPM), Datuk Dr Musa Mohd Nordin yang semalam telah tampil memohon maaf ekoran insiden menyebabkan ramai peserta marah, sebak dan berasa terhina terutama susulan dua larangan berkenaan semasa himpunan aman tersebut.

- Advertisement -

Kenyataan yang dikeluarkan oleh penganjur semalam menjelaskan bahawa tindakan tersebut telah mematuhi peraturan Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Namun, Ahmad membangkitkan persoalan adakah wujud peraturan khusus yang menyebutkan tentang larangan penghinaan terhadap Perdana Menteri Israel serta larangan laungan takbir? 

“Himpunan anjuran bersama VPM dan dan Humanitarian Care Malaysia (MyCare) itu dikatakan telah meletakkan banyak syarat sehingga ada peserta perhimpunan dari kalangan penganut Islam mendakwa laungan takbir, Allahu Akbar turut dilarang. 

“Saya berpendirian untuk menyokong apa jua himpunan mahupun wacana dalam membincangkan isu keganasan Zionis Israel. Cuma di sini,  jangan berikan signal yang salah kepada masyarakat.

“Larangan sedemikian agak janggal untuk diterima akal yang sihat,” katanya kepada HarakahDaily.

Beliau  turut memberitahu, apakah mereka (penganjur)  tidak membaca sejarah panjang konflik Palestin-Israel yang berlaku? 

“Sebagaimana yang kita ketahui, konflik Israel-Palestin sudah lama berlaku iaitu selama 75 tahun. Ini adalah cetusan keganasan dan kezaliman rejim Zionis Israel sejak sekian lama. 

“Oleh itu, jangan sesekali kita semua terikut-ikut naratif sebahagian besar pemimpin utama di negara Barat yang berusaha memadamkan kejahatan rejim Zionis Israel, apatah lagi menghalakan kesalahan kepada Hamas pula. 

“Seperkara yang lain adalah perjuangan di Palestin walaupun sangat berkait dengan perjuangan kemanusiaan, bahkan ia juga adalah suatu perjuangan Islam.” jelasnya. 

Tambah beliau, pertembungan yang berlaku itu juga adalah bertitik tolak daripada kepercayaan Zionis terhadap kitab Torah, meskipun Zionis bukanlah sebuah gerakan keagamaan. 

“Zionius adalah rejim yang bergerak menelusuri jalan politik.” ujarnya sambil berpesan kepada semua supaya meluruskan naratif yang betul terhadap konflik yang berlaku di Palestin, khususnya di Semenanjung Gaza pada ketika ini.

“Masyarakat Islam perlu sedar bahawa penyelesaian penyatuan ummah adalah jalan ke arah pembebasan Palestin dan ia tertegak apabila umat Islam bersatu di bawah panji Allahu Akbar!,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/10/2023

- Advertisement -