PAS parti politik pertama miliki superapss MyOnePAS Mastercard

Takiyuddin dalam sidang media di IDCC, Shah Alam, Selangor pada hari ini, 21 Okt 2023.
- Advertisement -

SHAH ALAM: PAS menjadi parti politik pertama di Malaysia yang memiliki ‘super apps’ MyOnePAS Mastercard yang menjalankan pelbagai fungsi kewangan digital dan prabayar.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, aplikasi ini adalah satu projek pentadbiran PAS Pusat ke arah digitalisasi pentadbiran dan pengurusan PAS yang merangkumi keahlian, sumbangan dan maklumat. 

- Advertisement -

“Pejabat Setiausaha Agung PAS telah bekerjasama dengan sebuah syarikat teknikal yang pakar dalam IT iaitu syarikat baharu atas nama PASPay Technologies Sdn. Bhd. yang mana ramai pakar teknikal di dalamnya.

“PASPay Technology Sdn Bhd ini yang membangunkan aplikasi ini. Aplikasi yang dinamakan MyOnePAS,” kata beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Kota Bharu.

Tambah Takiyuddin, selain boleh dijadikan saluran sumbangan yang menjadi pendapatan utama PAS, aplikasi ini juga akan menggabungkan aplikasi-aplikasi lain dalam parti itu seperti SkimPAS, waktu solat, berita, arah kiblat bagi memudahkan urusan ahli-ahli.

“Selepas apps ini berkuatkuasa, semua transaksi dapat dibuat melalui super apps ini. Cuma sekarang ini kita masih dalam proses untuk menstabilkan ahli-ahli kita masuk dalam apps ini.

“Untuk android sudah boleh dimuat turun. namun,  untuk i-Phone kita masih dalam proses,” ujar beliau dalam sidang media yang berlangsung di IDCC, di sini, hari ini pada hari kedua muktamar PAS Pusat ke-69.

Terdahulu Presiden PAS, Tuan Guru Tan Sri Abdul Hadi Awang telah melancarkan kad tersebut dalam majlis yang sama dengan gimik penyerahan kad MyOnePAS.

Sementara menurut Takiyuddin lagi, aplikasi ini bukan untuk ahli-ahli PAS sahaja, tetapi ia boleh dimuat turun oleh sesiapa sahaja yang membolehkan mereka menyumbang dan mendapat akses kepada maklumat umum PAS yang bukan sulit.

“Pengguna aplikasi ini boleh melakukan transaksi pemindahan wang, membayar bil secara dalam talian, membayar pembelian menggunakan QR Code dan lain-lain lagi.

“Aplikasi ini boleh digunakan dalam dua medium iaitu dalam bentuk applikasi dan kad debit Mastercard fizikal serta boleh digunakan di semua platform yang menggunakan MPay dan Mastercard,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/10/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!