
SHAH ALAM: Kemenangan Perikatan Nasional (PN) di empat negeri, termasuk menjadi suara yang kuat dan digeruni serta menjadi pembangkang yang konstruktif di Parlimen menunjukkan kesediaan mengambil alih tampuk Kerajaan Persekutuan.
Perwakilan PAS Negeri Pahang, Ustaz Mujibur Rahman Ishak berkata, untuk itu PAS, BERSATU dan GERAKAN perlu bergerak seiring bagaikan isi dengan kuku dan dakwat dengan kertas, serta bagai aur dengan tebing.
“Jangan ada dendam dan benci, duduk di meja bulat dan bincanglah dengan teliti,” ujarnya membahas Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-69 di IDCC, di sini sebentar tadi.
Seru beliau, sebagaimana PAS bertunjangkan tarbiyah, rakan-rakan dalam PN juga perlu diperkenalkan dengan hala tuju perjuangan ini antaranya tidak memisahkan mereka dengan elemen usrah dan kuliah.
Jelasnya, dalam perjuangan tidak hanya memerlukan jasad, tetapi juga sifat antaranya sabar yakni kemampuan untuk berhadapan segala ujian bagi berada di medan dengan cita-cita yang tinggi.
Juga peringatnya, perlu ada sifat istiqamah dan tawaduk yang didapati menerusi pemantapan secara berterusan kepada program tarbiyah, selain memberi fokus kepada elemen penerangan media baharu dan teknologi maklumat.
“Kita sedia maklum medan dalam talian kini adalah sumber premier untuk mendapatkan sebarang maklumat. Jentera penerangan parti ini perlu setaraf agensi media dan informasi arus perdana supaya PAS dan PN mampu menguasai peperangan siber yang terlalu sengit ketika ini.
“Harus diperhalusi agar Jabatan Penerangan di peringkat Negeri dan Kawasan khususnya dipegang oleh susuk yang benar-benar dapat menjadi obor buat seluruh masyarakat. Struktur organisasi Jabatan Penerangan ini perlu diperkemaskan sepertimana Jabatan Pilihan Raya,” ujarnya.
Beliau berharap ejen memperkasakan penerangan itu mesti disusuli dengan peruntukan kewangan khas dan mampan serta perancangan dan teras strategi yang jelas di semua peringkat kewujudannya.
Beliau turut menegaskan kepentingan memperkemaskan organisasi di semua peringkat, selain mempergiatkan usaha penambahan ahli agar terbina kekuatan di semua peringkat. – HARAKAHDAILY 21/10/2023











