Ucapan dasar: Pendirian PAS tidak musuhi bukan Islam

N. Balasubramaniam
- Advertisement -

SHAH ALAM: Ucapan dasar Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menggambarkan ketegasan parti itu terhadap aspirasi penyatuan ummah dan kebersamaan dengan orang bukan Islam yang tidak ekstrem.

- Advertisement -

Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat (DHPP) N. Balasubramaniam berkata malah ia mencerminkan pendirian PAS yang tidak memusuhi orang bukan Islam seperti yang didakwa musuh politik.

“Dalam ucapan dasar itu lengkap penjelasannya bahawa PAS sentiasa menyantuni pelbagai kaum dengan tidak pernah mengetepikan konsep Islam untuk semua.

“Dalam konteks itu juga, memang dia membela Islam dan orang bukan Islam yang tidak ekstrem dengan menjaga kebajikan bersama.

“Jadi pandangan saya, kalau masih menuduh PAS ekstrem kepada orang bukan Islam, mereka itu tidak lain dan tidak bukan hanya musuh politik yang sengaja mencipta persepsi untuk mencemar imej dan kewibawaan PAS di kaca mata orang bukan Islam,” katanya.

Beliau ditemui Harakahdaily selepas menghadiri perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke-69 yang diadakan di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, pagi tadi.

Tuan Guru Abdul Hadi dalam ucapan dasar muktamar bertemakan Adil, Prihatin dan Berkebajikan menekankan PAS akan meneruskan hala tuju dan pendekatannya dengan meletakkan jaminan kepada seluruh lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan agama. – HARAKAHDAILY 20/10/2023

- Advertisement -