Perkuat PN, jangan goyah dengan cabaran – Perkasa

Syed Hasan Syed Ali
- Advertisement -

SHAH ALAM: PERIKATAN NASIONAL (PN) ialah tempat orang Melayu untuk bersatu, kata Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hasan Syed Ali.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau menyeru supaya diperkuatkan ikatan antara parti dalam PN agar tidak mudah goyah dengan cabaran yang ada.

“Saya rasa bersyukur kerana dijemput hadir pada hari ini, PN tempat untuk Melayu bersatu. Kalau PN pun berpecah di mana lagi Melayu mahu mengadu nasib.

“Kita harap dengan kemenangan yang banyak kerusi walaupun belum dapat memerintah, kita perlu bekerja kuat supaya dapat memerintah.

“Perpaduan antara parti dalam PN terus kuat tidak mudah goyang supaya dapat bertahan lama untuk memastikan agenda perjuang Melayu itu tercapai,” katanya ketika ditemui di Muktamar Tahunan PAS kali ke-69 di IDCC, di sini, hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas ucapan dasar Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang disampaikan pada majlis perasmian muktamar.

Syed Hasan turut menyatakan kerisauan dengan permainan kotor pemerintahan kerajaan hari ini.

“Kita risau dengan apa yang berlaku sekarang, permainan kotor mengawal media, mudah untuk menyaman dan mendakwa serta cuba untuk menakutkan kepimpinan.

“Kita bimbang jika ini berterusan pimpinan pun rasa takut untuk bersuara, jadi menerusi saranan Tuan Guru Presiden sebentar tadi ia akan menambah lagi semangat mereka,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/10/2023

- Advertisement -