Post-mortem PRU15 dan PRN, aspek kelemahan dan positif

Tuan Guru Abdul Hadi diapit dua mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir dan Muhyiddin di pentas perasmian Muktamat PAS ke-69 di IDCC, Shah Alam, Selangor pada hari ini, 20 Okt 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/J Kemala)
- Advertisement -

SHAH ALAM: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kerusi parlimen parti itu daripada Pilihan raya Umum ke-12 (PRU12) hingga PRU14 tidak banyak berubah.

- Advertisement -

Namun, katanya dalam PRU15 kerusi Parlimen PAS berlaku peningkatan sebanyak 140 peratus daripada 18 kerusi dalam PRU14 kepada 43 kerusi dalam PRU15 sehingga mencatatkan bilangan kerusi parlimen tertinggi dalam sejarah 71 tahun penubuhan PAS, melalui kerjasamanya dalam gabungan PERIKATAN NASIONAL (PN) manakala Umno, PKR, Amanah dan DAP berlaku penurunan kerusi berbanding PRU14.

Menurutnya, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri, PAS mencapai tahap kemenangan 83 peratus dengan mendapat kerusi Dun tertinggi sebanyak 105 kerusi berbanding parti-parti lain.

“Sementara, kerusi yang dimenangi keseluruhan oleh PN lebih tinggi berbanding PH-BN iaitu PN menang sebanyak 146 kerusi dan PH-BN hanya mendapat 99 kerusi. Alhamdulillah,” ujarnya semasa menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-69 di IDCC di sini, hari ini. 

Turut hadir memberikan sokongan moral kepada Muktamar PAS kali in ialah dua orang mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada tambah beliau, PAS telah menjalankan post-mortem untuk melihat aspek kelemahan yang perlu diperbaiki dan aspek positif yang perlu dikekalkan dan ditingkatkan.

“Dari aspek kelemahan, antaranya kelemahan menarik sokongan pengundi bukan Islam dan bilangan gabungan kerusi yang belum mencukupi untuk membentuk kerajaan walaupun berlaku peningkatan yang mendadak,” jelasnya.

Tambah beliau, aspek positif pula antaranya mengekalkan sokongan pengundi muda, kekuatan media sosial, prestasi kerajaan negeri, imej bersih dan bebas rasuah, penambahan ahli dan cawangan, kesediaan jentera dan kualiti calon.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada para pengundi dan dermawan yang memberikan kepercayaan kepada PAS dan PERIKATAN NASIONAL,” katanya.

Beliau menegaskan, penghargaan khusus diberikan kepada jentera parti yang berjuang dengan penuh pengorbanan tanpa mengira penat dan Lelah, moga-moga usaha mereka mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT. – HARAKAHDAILY 20/10/2023

- Advertisement -