Sistem perolehan kerajaan perlu semak dan imbang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pendang menyarankan mekanisme semak dan imbang dalam sistem perolehan kerajaan ditambah baik bagi menutup kelompangan yang berlaku sekarang.

Datuk Awang Hashim berkata, sistem sedia ada hanya mendedahkan pembida sesuatu kontrak yang menang beserta dengan kos.

- Advertisement -

“Saya berpandangan setiap proses yang dilaksanakan harus mendedahkan perubahan sepanjang kontrak berjalan. Misalnya apabila perubahan harga atau pengubahsuaian berlaku untuk memberikan maklumat semak dan imbang yang lebih telus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, beliau bertanya sama ada kerajaan bercadang untuk mengkaji aspek kuasa budi bicara dalam membenarkan rundingan terus untuk sesuatu penganugerahan kontrak.

Katanya, ini termasuk sama ada wujud keperluan untuk mewajibkan alasan pemberian dan justifikasi secara terbuka sebelum penganugerahan kontrak dibuat.

Beliau melahirkan perasaan terkilan berhubung pembentangan RUU ini kerana kerajaan tidak melakukan libat urus bersama ahli parlimen pembangkang untuk mendapatkan pandangan yang berbeza.

“Sekurang-kurangnya kerajaan perlu ada semak dan imbang, tetapi ini tidak dilakukan. Tidak pernah berlaku sebelum RUU tidak dibuat libat urus,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/10/2023

- Advertisement -