Menteri seperti dipandu, bukan memandu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menilai semula prestasi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) ekoran peningkatan harga barangan.

Dato’ Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) berkata, pengerusi sebuah parti bukan tiket utama untuk dilantik mengetuai sebuah kementerian yang sangat penting itu.

- Advertisement -

Katanya, jika dahulu KPKM pernah terpalit dengan isu kekurangan telur ayam tempatan, kini kementerian yang sama diselubungi kekurangan beras tempatan.

“Menteri KPKM kelihatan seperti dipandu, bukan memandu kementeriannya sendiri, ini terserlah dalam isu kekurangan telur dan sekarang beras putih tempatan.

“Saya menyeru Kota Raja meletak jawatan atau Perdana Menteri menggantikannya dengan seorang yang berkelayakan menerajui kementerian penting ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Zulkafperi menyambut baik hasrat kerajaan mengubal RUU tesebut yang mengikat menteri kerajaan supaya bertanggungjawab terhada pengurusan kewangan awam.

Menurutnya, sejak sekian lama negara tidak mempunyai akta seperti itu yang menyebabkan pelbagai salah laku dan penyelewengan dilakukan yang membabitkan jutaan wang dibazirkan.

“Setelah sekian lama negara kita ditadbir tanpa akta tatakelola pengurusan kewangan awam dan tanggungjawab fiskal bagi kerajaan bertanggungjawab kepada pengurusan kewangan itu

“Maka tidak hairanlah kita telah mendengar dan melalui pelbagai skandal kewangan yang merugikan negara dan rakyat berbilion ringgit, 1MDB, LCS, skandal air di Sabah dan sebagainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/10/2023

- Advertisement -