Himpunan solidariti pertahan Palestin, Masjid Al-Aqsa Jumaat ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) bakal menganjurkan Himpunan Aman Solidariti Mempertahankan Bumi Palestin dan Masjid Al-Aqsa di Masjid Negara Kuala Lumpur pada Jumaat, 13 Okt ini selepas solat Jumaat.

Timbalan Ketua Pemuda, Dewan Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, Pemuda PAS mengikuti rapat pertempuran besar-besaran yang sedang berlaku ke atas saudara di tanah berdaulat Palestin pada ketika ini.

- Advertisement -

“Peperangan ini adalah suatu simbolik penting akan kebangkitan umat Islam di Palestin, setelah sekian lama dipenjarakan di negara sendiri oleh Zionis Laknatullah serta diperlakukan dengan segala bentuk penindasan, rampasan tanah-tanah dan hak milik, serta pencerobohan Masjid Al-Aqsa, tempat suci ketiga umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Tambah beliau, perkembangan terkini di Gaza pada ketika ini, ratusan nyawa rakyat Palestin telah terkorban dan ribuan yang lain tercedera, kebanyakannya adalah dari golongan wanita, kanak-kanak dan warga emas.

“Tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis ini mewajarkan kami untuk bertindak dan tidak berdiam diri, ketika saudara seagama kami diperlakukan dengan maha zalim,” tegasnya yang menambah jumlah kehadiran dijangka mencecah 5,000 peserta.

Sehubungan  itu, ujar Afnan Hamimi memberitahu, atas tanda solidariti, PAS dan PN akan menganjurkan himpunan berkenaan dan Dewan Pemuda PAS telah diamanahkan sebagai penganjur acara tersebut.

Sehubungan itu, Pemuda PAS, menyeru kepada seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia untuk turun bersama-sama di Masjid Negara bagi menyatakan bantahan dan solidariti kita terhadap nasib rakyat Palestin.

“Kita nyatakan ketegasan kita dalam mempertahankan kemuliaan tanah Palestin dan Masjid Al-Aqsa, daripada terus dihina dan diceroboh sesuka hati oleh Israel dan Zionis.

“Marilah kita bersatu hati, tanpa mengira bangsa dan agama, mahupun fahaman politik, untuk bersolidariti bersama-sama demi kemanusiaan sejagat dan khusus buat umat Islam ialah saudara seagama kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/10/2023

- Advertisement -