PRK Pelangai: Pencapaian PN lebih baik daripada PRU15

Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PERIKATAN NASIONAL (PN) menghormati pilihan yang telah dibuat oleh pengundi-pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelangai dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang baru berlangsung.

- Advertisement -

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun PN tidak memenangi kerusi tersebut tetapi menunjukkan pencapaian yang lebih baik berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 1,115 undi.

Menurutnya, majoriti yang diperolehi oleh BN pula merosot daripada 4,048 dalam PRU 15 kepada 2,949 dalam PRK ini.

Katanya kagi, keputusan PRK itu juga menunjukkan BN gagal menambah sokongan walaupun parti itu telah bergabung dengan PH dan seluruh jentera serta sumber kerajaan dikerah secara terang-terangan untuk membantu kempen BN.

“Saya percaya sepertimana trend dalam Pilihan Raya Negeri dan siri Pilihan Raya Kecil sebelum ini, tidak berlaku pemindahan undi (vote transferability) yang ketara antara PH dan BN,” ujarnya dalam hantaran di laman sosial beliau, malam tadi.

Sebaliknya, ujar beliau yang berlaku ialah peralihan sokongan kepada PN, terutamanya dalam kalangan pengundi Melayu.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera PN yang telah bertungkus-lumus berkempen dan juga kepada para pengundi di Dun Pelangai yang telah mengundi calon PN,” katanya yang juga Presiden Bersatu.

Pada PRK Dun Pelanga semalam, calon PN, Cikgu Kasim Samat memperoleh 4,375 undi manakala calon BN, Datuk Amizar Abu Adam mendapat 7,324 undi dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli hanya 47 undi.

Sebanyak 72.12 peratus daripada 16,456 pengundi Dun Pelangai keluar mengundi pada PRK itu.

PRK Dun Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya, Dato’ Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu. – HARAKAHDAILY 8/10/2023

- Advertisement -