Kabinet Anwar tidak berfungsi, perlu rombakan segera

- Advertisement -

MUTAKHIR ini, berbagai isu timbul dan telah mencetuskan kebimbangan rakyat Malaysia. Isu-isu keperluan asas seperti beras, telur ayam dan minyak, isu kejatuhan matawang negara, isu reformasi tata kelola yang tidak direalisasikan dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan, sehinggalah isu ketidakcekapan kerajaan untuk menangani pelbagai sentimen negatif, dilihat terus menghantui dan meresahkan rakyat. 

Kini, Bank Dunia menjangkakan keadaan ekonomi negara akan terus ‘menyederhana’, dan bakal gagal mencapai paras KDNK sasaran, iaitu sekitar 4-5 peratus. Berkemungkinan, kita hanya mampu mencapai sekitar 3.9 peratus. 

Sasaran untuk membentuk Belanjawan ‘surplus’ sehingga kini masih lagi tidak nampak bayang. Pastinya hal ini telah lari daripada agenda YAB Perdana Menteri yang dahulunya berdegar-degar mahu menampilkan belanjawan yang tidak defisit. 

Pemuda PAS berpendirian bahawa pasukan kerajaan dan kabinet yang ada pada ketika ini terlalu ‘fragile’, dan dilihat hanya sebagai kabinet ‘one man show’ yang membebankan kedudukan Perdana Menteri itu sendiri. Peranan Menteri yang penuh dengan ‘formula’ dan beberapa Menteri yang gagal berfungsi dalam mengatur harga dan kawalan bekalan makanan asas sangat wajar digugurkan. Pemuda PAS juga menolak sebarang tugas ‘part time’ dalam kementerian penting seperti Kementerian Kewangan. Seorang Menteri ‘full time’ yang lebih berkesan berbanding Menteri yang ada kini perlu dinaikkan. 

Maka, sewajarnya dibuat satu penstrukturan semula bagi para Menteri dan Timbalan Menteri yang gagal berfungsi dan kembalikan fungsi beberapa kementerian yang penting untuk mengemudi negara dengan lebih baik. Insya-Allah Pemuda PAS akan terus memberikan komitmen bersama jika pihak Kerajaan Perpaduan benar-benar mahu mentadbir negara. Jika tidak, ianya mungkin hanya sekadar menjadi ‘transit’ sebelum diambil alih oleh pihak lain. 

YB AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Timbalan Ketua 
Pemuda PERIKATAN NASIONAL
Ahli Parlimen Alor Setar – HARAKAHDAILY 5/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -