Robot mirip Gundam bakal dijual RM14 juta setiap satu

Pekerja Tsubame Industries Co, Akinori Ishii, duduk di dalam kokpit robot ARCHAX di Yokohama, Jepun pada 27 Sept 2023. (FOTO: REUTERS)
- Advertisement -

YOKOHAMA, Jepun: Tsubame Industries yang baru berpangkalan di Tokyo telah membangunkan robot beroda empat setinggi 4.5 meter mirip Mobile Suit Gundam, karakter siri animasi Jepun yang sangat popular, bakal dijual dengan harga AS$3 juta (RM14 juta) setiap satu.

Dikenali sebagai ARCHAX sempena nama burung dinasaur, archeoptery, robot berkenaan  mempunyai monitor kokpit yang menerima imej daripada kamera yang disambungkan ke bahagian luar supaya pengendalinya boleh menggerakkan lengan dan tangan dengan kayu bedik dari dalam badannya.

- Advertisement -

Robot seberat 3.5 tan itu, yang akan diperkenalkan pada Pameran Mobiliti Jepun pada akhir bulan Okt  ini, mempunyai dua mod – ‘mod robot’ tegak dan mod kenderaan’ yang membolehkan ia bergerak sehingga 10km per jam (kmj).

Ketua Eksekutif Tsubame Industries, Ryo Yoshida berkata: “Jepun sangat maju dan terbaik dalam industri animasi, permainan, robot dan kereta, jadi saya fikir ia bagus jika saya boleh mencipta produk yang menggabungkan  kesemua elemen itu  menjadi satu.

“Saya mahu mencipta sesuatu yang menyatakan; ‘’Ini Jepun!’.”

Ryo Yoshida bergambar dengan ARCHAX, robot gergasi yang boleh dipandu manusia di Yokohama, selatan Tokyo, Jepun pada 27 Sept 2023. (FOTO: REUTERS)

Sehubungan itu, Yoshida, 25, merancang untuk membina dan menjual lima daripada robot berkenaan untuk peminat fanatik tetapi berharap suatu hari kelak, ia  boleh digunakan untuk bantuan bencana atau dalam industri angkasa lepas.

Beliau mula berminat dalam pembuatan robot pada usia kanak-kanak, belajar cara mengimpal di kedai kimpalan besi datuknya, dan kemudiannya menubuhkan sebuah syarikat yang menghasilkan tangan prostetik myoelektrik. 

Yoshida berkata, beliau tidak sabar-sabar untuk mengekalkan kelebihan daya saing Jepun dalam pembuatan robot.

“Saya berharap dapat belajar daripada generasi terdahulu dan meneruskan tradisi itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/10/2023

- Advertisement -