PAS tidak fail rayuan keputusan petisyen Kemaman

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS memutuskan tidak akan memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu pada 26 September 2023 yang telah membenarkan Petisyen Barisan Nasional terhadap Ahli Parlimen Kemaman Che Alias Hamid.

- Advertisement -

Perkara itu ditegaskan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan media, hari ini.

Berikut kenyataan penuh.

PAS memutuskan tidak akan memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu pada 26 September 2023 yang telah membenarkan Petisyen Barisan Nasional terhadap Ahli Parlimen Kemaman Che Alias Hamid, sekali gus membatalkan kemenangan yang dicapai oleh PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 19 November 2022 yang lalu.

Keputusan ini diambil setelah Hakim Anselm Charles Fernandis mengesahkan dalam sesi Pengurusan Kes (Case Management) melalui Sidang Video (zoom) pada hari ini (3 Oktober 2023) bahawa keputusan Yang Arif Hakim dalam kes Petisyen Kemaman adalah sama seperti mana keputusan dalam kes Petisyen Kuala Terengganu, iaitu antaranya: “Keputusan saya bagi kes petisyen pilihan raya ini adalah terdapatnya unsur-unsur rasuah bagi bahagian pilihan raya Parlimen ini. Namun begitu saya tidak menamakan mana-mana pihak”.

Sehubungan dengan itu PAS menunggu dan bersiap sedia untuk mengambil langkah selanjutnya berdasarkan ketetapan yang akan dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan daripada keputusan tersebut.

Untuk rekod, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu dengan majoriti 27,179 undi apabila memperolehi 65,714 undi.

Tiga calon lagi ialah Dato’ Seri Ahmad Said (BN-Umno) yang mendapat 38,535 undi, Hasuni Sudin (PH-PKR – 8,340) dan Rosli Ab Ghani (Pejuang – 506) – HARAKAHDAILY 3/10/2023

- Advertisement -