
NABLUS: Kesemua kelas di sebuah sekolah di perkampungan Burqa, barat laut bandar Nablus, Tebing Barat yang diduduki telah ditutup, pada Isnin (2 Okt), waktu tempatan, selepas tentera Israel melepaskan tembakan di sekolah itu sehari sebelumnya.
Dalam kejadian tersebut, tentera Israel yang menyerbu sekolah itu, melepaskan tembakan hidup dan gas pemedih mata, menyebabkan seorang kanak-kanak cedera dan berpuluh-puluh yang menderita akibat terhidu asap.
Pemangku gabenor Nablus, Ghassan Daghlas berkata, keputusan menutup sekolah itu adalah untuk menjaga keselamatan pelajar berikutan pencerobohan Israel, lapor Middle East Eye.
Menurut media tempatan, tentera Israel juga menghalang guru-guru daripada mengakses 27 sekolah di Masafer Yatta, yang terletak di selatan bandar Hebron, Tebing Barat.
Tentera Israel meletakkan sekatan untuk menyekat jalan raya serta kiub simen besar, menghalang akses ke sekolah dan juga menghalang orang ramai daripada keluar dari kawasan itu.

Laporan dalam media tempatan juga berkata, serbuan dan langkah menyekat akses ke sekolah-sekolah itu adalah sebahagian daripada pencarian tentera Israel terhadap pelaku serangan tembakan yang dilaporkan yang merosakkan rumah peneroka di Hebron.
Serbuan di Kota Lama
Serbuan ke atas sekolah dan penutupan jalan dibuat pada hari yang sama ketika tentera Israel menyerbu bahagian Kota Lama Baitulmaqdis.
Video yang dikongsi dalam talian menunjukkan pasukan bersenjata dengan ganas memukul dan menyerang wanita warga emas Palestin yang berjalan melalui Kota Lama.

Serangan itu bertepatan dengan hari raya Yahudi Sukkot, yang menyaksikan keselamatan diperketatkan untuk membuka jalan kepada penyembah Yahudi melakukan ritual di Kota Lama.
Ratusan peneroka laknat Israel turut menyerbu pekarangan Masjid al-Aqsa pada hari Ahad (1 Okt) dan Isnin (2 Okt).
Tentera Israel menguatkuasakan sekatan ke atas kemasukan jemaah ke masjid berkenaan dan menyerang dengan ganas rakyat Palestin yang cuba memasuki tapak tersebut. – HARAKAHDAILY 3/10/2023