Ibu pejabat polis di Mesir hangus terbakar

Bangunan ibu pejabat polis di bandar Ismailia, Mesir yang hangus terbakar susulan dijilat api pada awal pagi hari ini, 2 Okt 2023. (FOTO: Mimi Eroq/Reuters)
- Advertisement -

KAHERAH: Berpuluh-puluh cedera selepas kebakaran besar melanda sebuah balai polis di bandar Ismailia Mesir pada awal hari ini, Isnin.

Kebakaran yang bermula sekitar jam 3 pagi (GMT), waktu tempatan berjaya dikawal kira-kira jam 5.20 pagi (GMT) menurut saksi dan media tempatan; dengan kementerian kesihatan berkata sekurang-kurangnya 38 orang cedera.

- Advertisement -

Jurucakap kementerian kesihatan, Hossam Abdel-Ghaffar berkata, 12 daripada mangsa yang cedera dirawat di lokasi, manakala 26 yang lain dibawa ke hospital, dengan ramai yang mengalami sedutan asap, lapor Arab News.

Tujuh daripada yang cedera telah dirawat dan dibenarkan pulang; sementara video yang tidak disahkan disiarkan di media sosial menunjukkan pengarah keselamatan bandar itu disambar api.

Dua saksi berkata, jentera bomba yang sebelum itu tiba di tempat kejadian kelihatan bergelut untuk mengawal kebakaran. Tidak dapat dipastikan sama ada terdapat sebarang kemalangan jiwa.

Sumber pertahanan awam tempatan berkata bahagian bangunan itu runtuh di bawah api; dan punca kebakaran tidak diketahui dengan segera.

Kebakaran maut adalah bahaya biasa di Mesir, yangi mana banyak bangunan usang dan tidak diselenggara dengan baik.

Pada Ogos 2022, kebakaran yang disebabkan oleh litar pintas mengorbankan 41 jemaah di sebuah gereja Kaherah, mendorong panggilan untuk menambah baik infrastruktur negara dan masa bertindak balas pasukan bomba.

Pada Mac 2021, sekurang-kurangnya 20 orang maut dalam kebakaran di sebuah kilang tekstil di ibu negara, manakala pada 2020, dua kebakaran hospital telah mengorbankan empat belas nyawa. – HARAKAHDAILY 2/10/2023

- Advertisement -