Siapa bakal calon PH-BN di Kemaman?

- Advertisement -

MUNGKIN ramai yang lupa atau kurang tahu, kerusi Kemaman adalah kerusi tetap bagi PKR sewaktu bersama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat dahulu. Pernah dimenangi oleh Allahyarham Abdul Rahman Yusof ketika tahun 1999-2004. Tetapi di tahun 2004, beliau gagal mempertahankan kerusinya.

Kemudian tahun 2008, Allahyarham Cikgu Fariz Musa pernah diangkat menjadi calon di Kemaman. Kamarudin Chik tahun 2013 juga diberikan peluang oleh PKR menjadi calon di sana. Waktu itu ada juga ura-ura nama Rafizi Ramli disebut sebagai calon PKR, namun tidak menjadi kenyataan.

Sehingga 2013, Kemaman kekal di bawah BN dan wakilnya, Dato’ Shabery Cheek diangkat menjadi Menteri Pusat. Kemaman sememangnya kubu bagi BN. Legasi yang ditinggalkan di sana oleh Allahyarham Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad sangat kukuh selama puluhan tahun.

Menyingkap tabir PRU-14, tahun 2018, keadaan berubah dengan drastiknya. Ustaz Alias Hamidi yang tidak pernah menang mana-mana kerusi dalam sejarah beliau menjadi calon kerana gagahnya BN di Kemaman, tiba-tiba menjadi wira PAS dengan kemenangan 2,163 majoriti menumbangkan gergasi Umno, Dato’ Shabery Cheek.

Malah kerja yang dilaksanakan oleh Ustaz Alias sebagai wakil rakyat dipercayai dan disukai majoriti pengundi di sana. Oleh itu pada tahun 2022, beliau sekali lagi diberikan kepercayaan oleh rakyat, malah dengan jumlah majoriti yang naik mendadak iaitu 27,179.

Namun nasib Ustaz Alias sama dengan nasib yang tertimpa Datuk Amzad Hashim yang dibatalkan kemenangan mereka kerana PAS kononnya didakwa melakukan sogokan ketika berkempen. Menggunakan alasan ADUN-ADUN dalam Parlimen sebagai ejen kepada calon, maka pembahagian dana-dana yang telah diluluskan dalam belanjawan tahun 2021 secara sah, dilakukan oleh ADUN-ADUN itu, dianggap sebagai kesalahan PRU. Akan tetapi tiada siapa yang dinamakan sebagai pemberi sogokan. 

Apapun keputusan pimpinan, ahli dan penyokong PAS sedia menjunjungnya demi perjuangan menegakkan Islam sebagaimana yang semenjak dahulu, tujuan dan hasrat inilah yang membangkitkan rasa semangat yang begitu membara. Kami sanggup berkorban sebanyak manapun kerana tahu keadilan yang dilakukan oleh pimpinan kami. Jika PAS memilih untuk PRK, kami akan turun membantu dengan sedaya upaya kami insya-Allah

Manakala di pihak lawan, adakah mereka akan mengenengahkan kembali ‘poster boy’ mereka, Dato’ Seri Ahmad Said yang sudah dua kali kalah di DUN dan juga di Parlimen? Ataupun mungkin Dato’ Shabery Cheek akan membuat penampilan semula di Kemaman?

Namun bersempena pengumuman kenaikan harga roti Gardenia ini, adalah lebih aulia dinaikkan semula nama Dato’ Seri Ahmad Said sebagai calon. Ini kerana rakyat Kemaman akan teringat akan peristiwa beliau menahan lori roti Gardenia dan memberikan rakyat makan. Sekarang roti Gardenia sudah mahal, jadi eloklah beliau bantu rakyat untuk dapatkan roti Gardenia. Nama beliau akan harum semula dan peluang menang di kerusi Kemaman adalah cerah jika beliau sekali lagi berjaya menahan lori roti Gardenia. 

Hendak diharapkan jasa lain beliaupun ada, tetapi mungkin hanya jin-jin yang berterima kasih kepada beliau sebab berjaya menyediakan penginapan jin di Strawberry Park dan Kenyir.

Tidak tertolak juga kemungkinan PKR akan cuba menduduki kerusi Kemaman. Ini kerana sudah terjadi di Parlimen Kuala Terengganu, sehinggakan Dato’ Zubir Embong terdiam, apabila nama Azan dari PKR yang dipilih, sedangkan Dato’ Zubir tidak pernah ponteng sidang mahkamah. Langsung tidak nampak muka beliau berkempen untuk Azan. 

Alasan lain lagi ialah PKR cuba membuka sejarah yang mereka sentiasa bertanding di situ dahulu. Dan mungkin juga BN akan memberikan kerusi itu kepada PKR sebab sudah tahu akan kalah. Nanti yang disebut orang PKR kalah, bukan Umno. 

MOHD NASIR ABDULLAH
27 September 2023 – HARAKAHDAILY 27/9/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -