UNGA ke 78 mendedahkan hipokrit Barat

- Advertisement -

PERHIMPUNAN Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 yang diadakan di New York, Amerika Syarikat baharu sahaja melabuhkan tirainya minggu lalu dengan dihadiri oleh ratusan pemimpin utama dari serata dunia.

- Advertisement -

Di sebalik publisiti meluas di akhbar-akhbar utama dunia terutamanya di Barat yang lebih menekankan isu konflik di Ukraine dan Climate and Environment Action, terdapat tiga lagi isu utama yang sewajarnya perlu diberikan perhatian pada UNGA kali ini.

Isu Palestin

Agenda utama pemimpin Barat kali ini di UNGA sebenarnya adalah untuk mengetengahkan isu konflik di Ukraine, serta dalam masa yang sama melemahkan sokongan negara-negara selatan yang menganggotai BRICS terhadap Rusia dan China.

Ketika berlangsungnya UNGA, media-media Barat mengangkat hebat isu konflik di Ukraine termasuk mempromisikan secara besar-besaran ucapan pemimpin Barat yang melanyak Rusia khususnya Presiden Rusia Vladimir Putin yang menyerang Ukraine dengan ‘dakwaan’ tidak berasas mereka bahawa Vladimir Putin mahu membina semula empayar Soviet Union.

Namun reaksi yang diharapkan tidak hadir tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya kerana naratif tersebut tidak diterima majoriti negara-negara Selatan dan lebih percaya ia adalah ‘perang proksi’ Barat ke atas Rusia. Sebaliknya isu Palestin menjadi hangat di UNGA kali ini hingga memaksa Perdana Menteri negara haram Israel berucap ‘berapi-api’ untuk menarik perhatian termasuk memaparkan peta provokasi baharu rantau Asia Barat dengan memadamkan terus Palestin dari peta baharu Asia Barat ciptaannya.

Pemimpin-pemimpin negara Dunia Islam pada UNGA kali ini berucap dengan nada tegas menuntut agar isu Palestin diberi keutamaan dan diselesaikan segera dengan Presiden Palestin Mahmoud Abbas akhirnya berucap dengan nada keras menuntut agar Barat mengotakan janjinya yang sekian lama ‘berhelah’ untuk menyelesaikan isu Palestin.

Pemimpin-pemimpin dari negara Amerika Latin seperti Presiden Peru dan Chile mengecam keras penjajahan rejim zionis Israel ke atas Palestin. Begitu juga pemimpin dari benua Afrika seperti Afrika Selatan yang menggesa dunia bertindak bagi membebaskan Palestin dari penjajahan serta Presiden Algeria mendesak PBB agar memberikan status keahlian penuh kepada Palestin.

Kehangatan isu Palestin membuatkan perwakilan negara haram Israel panas dan akhirnya bertindak membuat ‘demo’ dan kekacauan dalam dewan persidangan hingga terpaksa dihalau keluar. Ia juga turut mengakibatkan agenda utama Barat berkaitan isu konflik di Ukraine menjadi suam dan tenggelam berikutan kehangatan isu Palestin.

Namun apa yang lebih menarik dan menjadi viral di media sosial adalah ucapan Presiden Colombia Gustavo Petro pada UNGA kali ini yang terang-terang mendedah dan menempelak sikap hipokrasi Barat apabila membabitkan isu Palestin mahupun dunia.

“Mereka (Barat) lupa apabila mereka menceroboh Iraq, Syria dan Libya untuk minyak. Mereka juga lupa alasan mereka membela Volodymyr Zalensky (Presiden Ukraine) yang sepatutnya alasan sama juga diguna untuk membela Palestin. Mereka juga lupa bahawa untuk mencapai matlamat pembangunan mampan semua peperangan mesti ditamatkan. Tetapi mereka membantu melancarkan satu peperangan khususnya kerana ia sesuai dengan kuasa dunia dalam ‘permainan takhtanya’, dalam ‘permainan yang amat lapar’. Dan mereka lupa untuk menamatkan perang yang lain kerana sukar bagi kuasa dunia untuk menamatkannya. Apakah beza antara Ukraine dan Palestin, saya bertanya? Bukankah sudah tiba masa untuk menamatkan kedua-dua peperangan tersebut dan peperangan yang lain, dan memanfaatkan masa yang singkat ini untuk memberi laluan menyelamatkan nyawa di muka bumi ini?”

Islamofobia

Pada UNGA kali ini, pemimpin-pemimpin negara Dunia Islam seperti Qatar, Iran dan Turkiye mengecam keras Islamofobia yang sedang berlaku di dunia ketika ini khususnya di Barat sebagaimana insiden pembakaran naskhah suci Al-Quran yang berlaku di Sweden dan Denmark baru-baru ini atas nama kebebasan bersuara.

Barat yang pada mulanya membisu akhirnya terpaksa bertindak mengecam perilaku tersebut berikutan bantahan keras dari seluruh Dunia Islam. Di sebalik mengecam tindakan tersebut, pemimpin Barat masih lagi menyokong perilaku tersebut atas nama kebebasan bersuara dengan memberikan lagi kebenaran kepada kumpulan dan individu ekstremis untuk membakar naskhah suci Al-Quran.

Disebabkan desakan kuat dari Dunia Islam juga, akhirnya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB terpaksa mengadakan sidang tergempar pada Julai lalu untuk membincangkan isu Islamofobia termasuk memuktamadkan resolusi yang mengisytiharkan 15 Mac sebagai Hari Antarabangsa Untuk Menangani Islamofobia.

Walaupun begitu, Kerajaan Perancis baru-baru ini telah mengharamkan pemakaian ‘abaya’ ke atas kanak-kanak perempuan Muslim di sekolah-sekolah di seluruh Perancis. Itu tidak termasuk merosakkan masjid-masjid dan Pusat Islam di Eropah dan Amerika Utara serta keganasan dan pembunuhan umat Islam berikutan sikap Islamofobia melampau seperti insiden tembakan di sebuah masjid di Christchurch, New Zealand dan insiden pembunuhan keluarga Afzaal di Ontario, Kanada.

Peliknya teori hak asasi manusia, kebebasan bersuara dan agama tidak diterima pakai kepada umat Islam untuk mengamalkan cara hidup mereka mengikut tuntutan agama.

Sebaliknya apabila Barat membawa masuk agenda mereka ke Dunia Islam dan ditentang oleh umat Islam seperti LGBT serta tidak menghormati prinsip, adat budaya dan ketamadunan umat Islam, mereka dituduh sebagai tidak demokratik dan tidak bertamadun serta melanggar hak asasi manusia. Peliknya, tidakkah tindakan terhadap umat Islam di Barat juga melanggar hak asasi manusia, tidak bertamadun dan tidak demokratik?

Ketidakhadiran Presiden China dan Rusia

Sebagaimana pada Sidang Kemuncak G20 di India baru-baru ini, UNGA kali ini turut tidak dihadiri oleh kedua-dua Presiden tersebut. Presiden Rusia Vladimir Putin sebagaimana yang diketahui telah dikenakan ‘waran tangkap’ oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas dakwaan tidak berasas ‘memindahkan kanak-kanak dari Ukraine ke Rusia’ yang berkemungkinan menjelaskan ketidakhadiran beliau ke UNGA kali ini.

Namun yang menjadi tanya tanya kebanyakan penganalisis geopolitik dunia adalah ketidakhadiran Presiden China Xi Jinping. Lebih menimbulkan kemusykilan adalah ketika UNGA sedang berlangsung, Xi Jingping dilihat menyambut kehadiran Presiden Syria Basyar Al Assad yang berkunjung ke China.

Berikutan itu, ramai penganalisa geopolitik dunia menyatakan bahawa China sudah ‘berpatah arang’ dengan Barat dan lebih menumpukan agenda ‘multipolarnya’ bersama Rusia dan BRICS apatah lagi dalam masa terdekat Presiden Rusia Vladimir Putin dijangka akan berkunjung ke China untuk mengadakan pertemuan dengan Xi Jinping.

Kenyataan-kenyataan terkini pemimpin China dan Rusia untuk mengeratkan lagi kerjasama ekonomi dan ketenteraan serta perluasan keanggotaan BRICS baru-baru ini turut menjelaskan sikap kedua-dua negara apatah lagi hubungan yang semakin tegang antara China dan Amerika Syarikat khususnya membabitkan Taiwan dan sekatan ke atas sektor teknologi khususnya semi konduktur ke atas China.

Begitu juga kenyataan terkini dari pemimpin Amerika Syarikat dan Eropah yang mendesak agar dikenakan sekatan yang lebih keras ke atas China, kemungkinan untuk ‘menangguhkan’ bantuan ketenteraan dan kewangan ke atas Ukraine dengan memberikan lebih penumpuan ke atas China dan Laut China Selatan serta bantuan ketenteraan ke atas Taiwan jelas menunjukkan keadaan semakin tegang antara China dan Amerika Syarikat.

Kebanyakan penganalisa geopolitik dunia mengandaikan ia bakal berlaku tidak lama lagi berikutan konflik di Ukraine yang seakan jelas memihak kepada Rusia, keadaan yang semakin genting di Semenanjung Korea dan penambahan pengkalan tentera untuk kegunaan tentera Amerika Syarikat terutamanya di Filipina, Korea Selatan dan Jepun.

Sebelum ini teori Barat adalah, untuk menundukkan China terlebih dahulu perlu menundukkan Rusia tetapi dengan kemungkinan kegagalan ‘perang proksinya’ di Ukraine serta penyusutan drastik sumber kewangan dan ketenteraan, Barat dijangka secara drastik akan mengalihkan tumpuan ke Asia Timur tidak lama lagi.

Begitulah kisahnya UNGA ke 78 di New York, Amerika Syarikat baru-baru ini, rumusan dan ramalannya. Namun pengajaran dan pedoman terbaik buat Dunia Islam saat ini adalah jika bersatu padu, teguh dan tegas seperti isu Islomofobia dan Palestin, ternyata ia akan membuahkan hasil dan mendatangkan kegerunan kepada Barat khususnya negara haram Israel.

Yang getirnya saat ini adalah ramalan ramai penganalisa geopolitik dunia bahawa konflik bakal teralih ke arah Asia Timur. Jika ia benar berlaku sudah pasti tempiasnya juga akan sampai ke tanah air tercinta ini. Sewajarnya sebagaimana ucapan Presiden Colombia semua perang perlu ditamatkan untuk mencapai keamanan dan kesejahteraan buat umat manusia di muka bumi ini.

Sama-sama kita doakan agar Palestin dan rakyatnya bebas dan merdeka dari cengkaman rejim zionis Israel dan Islam kembali gemilang dan terbilang di muka bumi ini.

“Malaysia Sejahtera”

YB DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
AJK PAS Pusat – HARAKAHDAILY 27/9/2023

- Advertisement -