State-Government-4 (SG4): Inovasi politik-ekonomi 

- Advertisement -

BERMULA 2 September 2023, secara rasminya 4 buah negeri yang terletak bawah pentadbiran PERIKATAN NASIONAL iaitu Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan telah berjaya memeterai sebuah kerjasama strategik di peringkat negeri. Kerjasama peringkat kerajaan negeri ini juga telah melantik Mantan Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 sebagai penasihat utama bagi gabungan ini.

Jika selama ini kita sinonim dengan kerjasama antara negara di peringkat Antarabangsa seperti G-8,G-20 dan BRICS, namun kita jarang sekali mendengar kerjasama sebegini rupa di peringkat negeri. Maka ini telah menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat, apakah punca kepada terbentuknya inovasi ini?

Menurut Dr Ahmad Samsuri yang mewakili 4 Menteri Besar dari 4 kerajaan negeri ini, kerjasama SG4 adalah berasaskan kerangka bidang kuasa negeri sahaja. Sekali gus hal ini telah menafikan sentimen bahawa SG4 akan melanggar bidang kuasa federal

Kerjasama ini akan berobjektifkan 2 domain utama iaitu:

(i) Pembangunan ekonomi.
(ii) Peningkatan taraf hidup rakyat.

Kerjasama ini akan dilaksanakan menerusi 3 pembolehubah iaitu:

(i) Aset kerajaan negeri.
(ii) Kekuatan kerajaan negeri.
(iii) Kerjasama strategik dalam hal ehwal berkaitan pengurusan.

Justeru apabila dinilai kerjasama SG4 ini adalah berasaskan kerangka bidang kuasa negeri, maka terdapat beberapa aspek yang boleh dinilai sebagai potensi kerjasama yang bakal dilakukan oleh SG4 iaitu:

(i) Hal ehwal tanah. 
(ii) Pertanian dan perhutanan.
(iii)Hal ehwal pengurusan kerajaan tempatan.
(iv) Hal ehwal agama Islam dan adat Melayu.

Negeri SG4 boleh dikatakan mempunyai potensi ekonomi dan kedudukan geopolitik yang strategik. Kelantan dan Terengganu sebagai contoh yang merupakan potensi besar boleh menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan negara-negara Indochina, Kedah yang sedari dulu merupakan negeri yang terkenal dengan pelabuhan strategik di Utara Selat Melaka serta Perlis mempunyai potensi pelancongan dan pertanian yang sangat luas.

Menyentuh soal penasihat utama SG4 Tun Dr Mahathir yang kononnya mewujudkan sentimen tidak baik dengan Kerajaan Persekutuan, perlu difahami bahawa amalan melantik tokoh yang berpengalaman dan berwibawa sebagai penasihat ekonomi bukanlah perkara asing. Terengganu yang mencatatkan perkembangan KDNK yang semakin baik dalam tahun kebelakangan ini juga pernah melantik Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai penasihat. Pelantikan Tun Mahathir yang mempunyai pengalaman hampir 2 dekad sebagai Perdana Menteri, pelopor kepada projek pengambilalihan aset strategik tanah Melayu daripada kolonial British serta mempunyai jaringan dengan pemain industri besar daripada Timur Jauh dilihat sebagai langkah yang wajar jika SG4 ingin melangkah jauh.

Tidak salah jika SG4 dibentuk selagi masih berlandaskan Perlembagaan dan dalam kerangka tugas negeri. Melihatkan kepada layanan dan dasar parti pemerintah Kerajaan Pusat yang dilihat terlalu politiking dan populis dalam isu-isu penting yang menyentuh kebajikan rakyat, maka reaksi tindak balas penubuhan SG4 tidak boleh dipersoalkan begitu mudah. Contohnya dapat kita lihat menerusi tindakan Perdana Menteri ke-10 (PMX) terhadap projek KXP, pendirian yang tidak konsisten dalam isu pemberian royalti minyak serta usaha mempolitikkan isu infrastruktur air Kelantan merupakan contoh jelas politiking keterlaluan daripada parti pemerintah Kerajaan Pusat.

SG4 sebenarnya bukanlah langkah memusuhi kerajaan federal, sebaliknya sebuah inovasi dan adaptasi negeri pembangkang dalam menghadapi tekanan politik serta usaha kreatif menambahbaik prestasi kerajaan negeri. Bahkan, kejayaan 4 negeri ini akan  menguntungkan juga Malaysia secara amnya. Empat negeri ini masih kekal sebagai negeri, namun hanya urus tadbir dan kerjasama inter-negeri ditambahbaik dan diefisienkan.

UTHMAN CHE AZIZ
Projek Anak Muda Islam (PAMI) – HARAKAHDAILY 26/9/2023

- Advertisement -
- Advertisement -