Sifat amanah terhadap harta negara

Nik Muhammad Nasri Nik Malek
- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 85)

- Advertisement -

BIRAS Umar bin Abdul Aziz menemuinya. Beliau meminta sesuatu daripadanya dari BaitulMal. Umar mengherdiknya. Beliau berkata:

أردت أن ألقى الله ملكا خائنا؟

Maksudnya: Adakah engkau mahu aku bertemu Allah sebagai raja yang khianat?

Kemudian Umar memberinya dari hartanya sendiri sebanyak 10,000 dirham. (Tarikh Al-Khulafa, Imam Suyuti ms 130)

Umar bin Abdul Aziz juga menulis surat kepada Abu Bakar bin Muhammad bin Amru bin Hazm, gabenor Madinah: Aku telah membaca suratmu kepada Sulaiman, bahawa beliau  mengagihkan lilin-lilin kepada penguasa-penguasa Madinah sebelummu, di mana mereka menggunakannya untuk menerangi jalan ketika keluar rumah. Aku diuji untuk menjawab mengenainya. Demi umurku! Aku berjanji denganmu wahai anak Ummi Hazm bahawa engkau keluar dari rumahmu pada malam yang sejuk dan gelap tanpa lampu. Demi umurku! Engkau ketika itu lebih baik dari engkau pada hari ini. Sungguhnya pelita di rumah keluargamu sudah mencukupi.

Dalam sepucuk surat yang lain, beliau menulis: Aku telah membaca suratmu kepada Sulaiman, bahawa penguasa-penguasa Madinah sebelummu biasa diberi kertas untuk menulis keperluan orang Islam demikian-demikian. Aku diuji untuk menjawabnya. Apabila suratku sampai kepadamu, maka nipiskan dakwat pen, himpunkan tulisan dan catat keperluan yang banyak dalam sehelai kertas. Tidak ada keperluan bagi orang Islam dalam perkataan yang lebih, tidak perlu yang memudaratkan Baitulmal mereka. (Sirah Umar bin Abdul Aziz, Ibn Abdul Hakam ms 64-65)

Sebenarnya sangat banyak kisah sebegini yang boleh dibaca dalam pemerintahan Umar bin Abdul Aziz, persis kisah-kisah hebat di zaman leluhurnya Umar bin Al-Khattab r.a.

Saya mengambil beberapa mutiara pengajaran darinya, dan saudara pembaca juga boleh menambahnya sendiri:

1. Kisah dan surat di atas adalah benar, tidak palsu, realiti, bukan lakonan di tv, lahir dari taqwa yang tinggi, tidak lahir dari tingkat bangunan pentadbiran yang tinggi.

2. Melihat kepada isunya, ia melibatkan duit Baitulmal, lilin dan kertas. Bagi kita, kelihatan isunya agak remeh – hanya sekadar kertas dan lilin, apalah sangat benda-benda kecil seperti ini. Namun isu pokok bukan lilin dan kertas semata-mata, tetapi ia adalah isu setakat mana sifat amanah itu dipraktikkan dalam urusan pentadbiran dan pemerintahan.

3. Penilaian integriti dan sifat amanah dalam pentadbiran Umar bin Abdul Aziz sangat tinggi. Kalau markah untuk mendapat A bagi Umar bin Abdul Aziz, agaknya 95 peratus ke atas. Bawah 95 peratus, sudah dikira B dan seterusnya.

4. Sifat amanah, integriti dalam konteks pentadbiran semasa sewajarnya menjadikan pentadbiran Umar sebagai panduan. Itu dari segi teori. Dari segi praktikal dan realiti, bagaimana? Paling kurang, tiada yang haram yang jelas dibuat. Yang kesamaran, sedikit kelabu, usahakan untuk dielak.

Benarlah Nabi SAW yang bersabda:

إنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ، فَمَنْ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقْد اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيهِ، أَلَا وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى، أَلَا وَإِنَّ حِمَى اللَّهِ مَحَارِمُهُ، أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ”

Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga perkara syubhat, maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.(Riwayat al-Bukhari no.52, Muslim no.1599 dan Abu Daud, no.3329, 3330)

Antara yang ditanya di akhirat ialah mengenai harta: Dari mana anda dapat, ke mana ia dibelanjakan? – HARAKAHDAILY 27/9/2023

- Advertisement -