SG4 tiada apa yang perlu ditakuti oleh PH-BN 

- Advertisement -

STATE Government 4 (SG4) yang menggabungkan empat negeri di bawah PERIKATAN NASIONAL telah menerima pelbagai reaksi sama ada positif atau negatif.

Tulisan ini merupakan beberapa jawapan dalam menanggapi pandangan negatif terhadap SG4 yang dibawa oleh penyokong dan pemimpin PH-BN.

Pertama, adakah SG4 ini bercanggah dengan Perlembagaan? Sebagaimana yang telah dijelaskan oleh YAB Dr Samsuri, SG4 hanya melibatkan bidang kuasa negeri yang telah ditetapkan dalam Jadual Sembilan, Senarai Negeri.

Secara asasnya, penubuhan SG4 ini berlandaskan peruntukan yang dibenarkan dalam Perlembagaan.

Kedua, terdapat pimpinan Kerajaan Perpaduan yang mengatakan SG4 ini tidak menghormati dan membelakangkan semangat federalisme.

Sebenarnya SG4 ini dibangunkan untuk memastikan bukan sahaja semangat federalisme dihormati, malah pengamalan federaslime dalam negara mesti dilaksanakan walaupun berbeza parti.

Tindakan menyekat projek ke negeri, menyekat peruntukan negeri, menolak permintaan untuk berjumpa dan menidakkan hak negeri itulah pengkhianatan terhadap semangat federalisme dalam negara.

Ketiga, daripada pimpinan PH-BN sibuk memberikan persepsi negatif terhadap SG4, apakah pula inisiatif negeri-negeri di bawah PH-BN untuk majukan negeri?

Setidaknya negeri-negeri yang dikatakan ‘mundur’ ini telah mengambil langkah ke depan untuk memacu ekonomi dan memanfaatkan aset dalam SG4.

Jangan kerana negeri-negeri di bawah PH-BN tidak mampu menonjolkan idea untuk memajukan negeri yang dipimpin, maka inisiatif baik dari Negeri PN diperlekehkan.

Keempat, PH-BN tidak perlu takut dengan SG4. Gabungan ini berfokuskan kepada penyelarasan dan pembangunan ekonomi empat negeri bukanlah satu gabungan penjajaran politik.

SG4 hanyalah untuk menyelaras 4 negeri di bawah PN dalam beberapa isu fokus yang lebih kritikal. Sebelum ini pun sudah ada penyelarasan dan kebersamaan dalam 4 negeri ini, sebagai contoh;

1. Polisi pengharaman judi di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
2. Tiga daripada empat negeri telah mengumumkan akan memberikan peruntukan kepada ADUN Pembangkang. Bukankah pendekatan ini menguntungkan PH-BN?
3. Penggunaan logo Sambutan Hari Kebangsaan yang selari dengan Kerajaan Persekutuan. Bukankah keputusan ini memperkukuhkan semangat federaslisme?

Dengan adanya SG4, isu kritikal seperti pengurusan, pembangunan ekonomi, pendidikan, perundangan Islam dan sebagainya dapat diselaras dengan lebih komprehensif bagi keempat-empat negeri ini.

Oleh itu, usahlah pimpinan PH-BN tergugat dengan kemunculan satu inisiatif yang baik untuk perkembangan negeri-negeri dalam Malaysia.

AHMAD FAHMI MOKHTAR
Projek Anak Muda Islam (PAMI) – HARAKAHDAILY 26/9/2023

- Advertisement -
- Advertisement -