Bijaksana dalam menilai kritikan Munshi Abdullah 

- Advertisement -

MENJADI satu persoalan paradoks mengapa apabila individu atau kita boleh gelar ‘tokoh’ seperti Munshi Abdullah dikritik dengan keras, akan timbul semacam satu tindak balas reaktif yang tidak sihat dan tidak seimbang?

Apakah Munshi Abdullah itu individu maksum yang tidak boleh dinilai secara kritis akan peranannya sewaktu era kolonial British? Acap kali yang akan pertahankan Munshi Abdullah daripada sebarang kritikan keras adalah kumpulan ‘kiri’ yang amat sinonim dengan keterbukaan dan kebebasan memberi pendapat mereka. Tidakkah ini satu ironi dan hipokrasi?

Persoalan dan perbahasan idea seputar tokoh Munshi Abdullah ini sebenarnya masih luas. Ruang lingkup untuk membicarakan persoalan dan perincian berkenaan tokoh ini selalu dihitung dan didominasi dari sudut sumbangan kesusasteraan beliau semata-mata tanpa mengambil kira aspek lain seperti realiti sejarah dan konteks sebenar zaman Munshi Abdullah.

Kita tidak menafikan sumbangan Munshi Abdullah dari sudut ilmu teknikal dan seni kesusasteraan yang dimiliki beliau. Boleh dikatakan beliau ada sumbangan dalam sudut itu, itupun sebenarnya hal ini turut telah dikritik dan dipertikaikan oleh cendekiawan lokal seperti Syed Muhammad Naquib al-Attas yang menobatkan tokoh lain seperti Hamzah Fansuri sebagai lebih layak diberikan gelaran Bapa Kesusasteraan Moden Melayu.

Namun begitu, tiba masanya juga bagi kita untuk bersifat lebih kritis terhadap Munshi Abdullah melihatkan perbahasan berkenaan beliau masih kurang dari sudut sejarah dan realiti zaman penjajahan. Hal ini demikian kerana, tindakan ini akan memastikan penilaian kita terhadap segala sosok tubuh yang terkenal dengan kritikan beliau terhadap orang Melayu dan Kerajaan Melayu dapat dinilai dengan lebih objektif dan seimbang.

Seimbang yang dimaksudkan adalah kita dapat menganalisis lebih lanjut apakah sumber atau niat sebenar di sebalik kritikan demi kritikan Munshi Abdullah terhadap kumpulan orang Melayu dan Kerajaan Melayu itu wajar atau dipengaruhi faktor lain seperti latar belakang Munshi Abdullah yang bekerja dan dipengaruhi British?

Munshi Abdullah dilahirkan di Negeri-negeri Selat dalam era penjajahan sedang rancak berlaku. Dr Azmi Ariffin, pengkaji dan pensyarah dari USM menyifatkan segala laporan yang dibuat oleh Munshi Abdullah sebagai terputus dan asing terhadap Kerajaan-kerajaan Melayu ketika itu. Laporan oleh beliau yang merupakan keturunan Jawi Peranakan dan bertugas sebagai penterjemah bagi pihak kolonial bahkan tidak ubah sama sahaja seperti mana-mana ulasan dan pelaporan yang dibuat oleh penjajah berkulit putih dari Eropah yang lain.

Kita ambil contoh pandangan Munshi Abdullah yang begitu negatif terhadap Kerajaan Melayu di Kelantan dan Terengganu sehinggakan menimbulkan prejudis dan penilaian begitu buruk terhadap pemerintahan pada era tersebut. Namun dalam masa sama kritikan ini juga bersifat tidak adil apabila realiti sebenar yang lebih kurang sama yang turut melanda negara-negara lain pada abad ke-19 tidak pula diceritakan. Gambaran Munshi Abdullah terhadap orang Melayu yang dikatakan miskin, pengotor dan tidak maju itu pula tidak pula dibawakan sekali dengan fakta bahawa penjajahan kolonial British lah yang menjadi punca kepada masalah tersebut.

Maka melihatkan kepada latar belakang, kedudukan serta sifat bias pada penghujahan Munshi Abdullah, tidaklah menjadi sesuatu yang aneh apabila orang Melayu Islam lagi-lagi daripada kumpulan pengkaji sejarah bersifat begitu skeptikal terhadap isi dan intipati kritikan Munshi Abdullah terhadap orang Melayu.

Pelbagai kritikan keras dan label negatif juga diberikan kepada Munshi oleh orang Melayu seperti khadam penjajah dan pengkhianat. Bahkan ada yang menganalogikan peranan Munshi tidak jauh dari syaitan. Hal ini sehinggakan timbul penulisan defensif daripada individu tertentu. Berkenaan isu ini, perlulah difahami bahawa syaitan itu ada bermacam jenis. Manusia pun boleh menjadi syaitan jika bersifat sepertinya. Firman Allah S.W.T dalam surah Al An’am ayat 112:

- Advertisement -

  وَكَذَ ٰ⁠لِكَ جَعَلۡنَا لِكُلِّ نَبِیٍّ عَدُوࣰّا شَیَـٰطِینَ ٱلۡإِنسِ وَٱلۡجِنِّ یُوحِی بَعۡضُهُمۡ إِلَىٰ بَعۡضࣲ زُخۡرُفَ ٱلۡقَوۡلِ غُرُورࣰاۚ وَلَوۡ شَاۤءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُۖ فَذَرۡهُمۡ وَمَا یَفۡتَرُونَ

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.”

Menurut Gus Baha berkenaan persoalan manusia bersifat syaitan adalah dapat dilihat menerusi kalimah:

یُوحِی بَعۡضُهُمۡ إِلَىٰ بَعۡضࣲ زُخۡرُفَ ٱلۡقَوۡلِ غُرُورࣰاۚ

Iaitu peranan khusus syaitan manusia ini adalah mengadu domba dan menimbulkan pergaduhan sesama umat Islam.

Menilai kembali peranan Munshi Abdullah yang dinilai oleh sebahagian kelompok sebagai menjalankan kritikan dan kerja-kerja penjajah yang bertujuan melemahkan dan memecahkan kaum peribumi, maka tidak pelik seandainya tokoh ini pun dianalogikan sebagai syaitan manusia melihatkan besarnya implikasi negatif akibat kerja buat Munshi Abdullah sebagai pendamping kolonial British terhadap umat Islam di Tanah Melayu.

Menjawab tulisan di https://m.malaysiakini.com/columns/679841

TAMAR JAYA  – HARAKAHDAILY 26/9/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -