Banjir: Bantuan awal akan disalur secepat mungkin

- Advertisement -

ARAU: Hujan sepanjang hari sekitar Sabtu hingga Isnin lalu menyebabkan enam kampung di Kangar, Arau dan Padang Besar dilanda banjir kilat.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Bantuan Bencana negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, pihaknya telah membuat tinjauan awal keadaan banjir sejurus mendapat maklumat di Kampung Gial di sini.

“Penduduk dinasihatkan berjaga-jaga dan dapatkan maklumat dari pihak berkuasa jika didapati hujan masih turun sehingga hari ini.

“Sekiranya diarahkan berpindah, sila berbuat demikian demi keselamatan kita bersama,” katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau lagi, sehingga semalam, seramai 10 orang terlibat di Kampung Gial manakala 23 orang daripada enam keluarga lagi di Kampung Ulu Pauh, di sini.

“Bantuan awal kecemasan akan disalurkan kepada penduduk yang terlibat secepat mungkin,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud, berkata hujan berterusan menyebabkan beberapa sungai dipenuhi air sehingga melimpah memasuki kediaman penduduk.

“Tinjauan sejak jam 7.40 malam tadi mendapati kawasan di Ulu Pauh, Arau, terjejas selepas air Sungai Kampung Lalang dan Sungai Kampung Cik Mat Taha mulai naik sejak petang sehingga melimpah memasuki kediaman penduduk di Kampung Ulu Pauh serta Kampung Tengah Ulu Pauh.

“Selain itu, kawasan di Taman Gembira, Repoh di Kangar dan tiga kawasan di Padang Besar, iaitu Sungai Chuchuh dan Sungai Kok Mak di Titi Tinggi Hilir serta Sungai Batu Bertangkup di Chuping, menjadi antara kawasan yang turut mengalami banjir kilat,” katanya ketika dihubungi. – HARAKAHDAILY 26/9/2023

Wakil PKWR Mata Ayer bersama wakil Jabatan Kerja Raya selepas membuat tinjauan di Kampung Gial.
- Advertisement -