BENTONG: PERIKATAN NASIONAL (PN) Negeri Pahang akan mengambil langkah sedaya upaya untuk memastikan anak-anak muda keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai, 7 Oktober ini.
Timbalan Pengerusinya, Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, pihaknya berusaha untuk menggalakkan golongan pengundi muda itu menunaikan tanggungjawab pada PRK Pelangai.
Menurut beliau, suasana pada PRK Simpang Jeram, Johor baru-baru ini dijadikan pengajaran untuk memastikan kalangan anak-anak muda keluar mengundi.
“Insya-Allah, kita mengambil pengajaran daripada PRK Simpang Jeram itu. Kita akan ambil sedaya upaya untuk memberi galakan dan mendorong mereka untuk keluar mengundi, insya-Allah,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS negeri kepada Harakahdaily semasa ditemui di Bilik Operasi PERIKATAN NASIONAL PRK DUN Pelangai, Kampung Bukit Gajah.
Katanya lagi, lonjakan sokongan yang ditunjukkan anak-anak muda kepada PN mutakhir ini memberi kelebihan kepada Cikgu Kasim Samat pada PRK Pelangai.
Beliau menambah, terdapat kira-kira 700 mengundi berusia dalam lingkungan 18 hingga 20 tahun di DUN Pelangai, sementara yang berusia antara 21 hingga 25 tahun berjumlah lebih 1,000 orang dan 25 hingga 35 tahun pula lebih 5,000 orang.
“Dengan prestasi dan lonjokan sokongan yang ditunjukan pengundi muda ini, insya-Allah kita yakin mereka akan memihak kepada PERIKATAN NASIONAL pada PRK Pelangai kali ini,” katanya yang juga Adun Tanjung Lumpur.
PRK DUN Pelangai diadakan kerana kekosongan kerusi luar jangka susulan penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, 17 Ogos lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan pengundian awal pada 3 Oktober dan hari mengundi 7 Oktoer ini. – HARAKAHDAILY 25/9/2023