Hutan 1,000 koleksi tumbuhan ubatan di Perlis

Satu spesies tumbuhan yang unik terdapat di Rimba Herba Perlis.
- Advertisement -

KANGAR: Kawasan seluas 12 hektar, Rimba Herba Perlis (RHP) menyajikan lebih 1, 000 koleksi tumbuhan ubatan yang semulajadi ada di hutan ini dan dari tempat lain.

Pada peringkat awal penubuhannya pada tahun 1988, ia dikenali sebagai Taman Herba Perlis kemudian ditukar kepada Rimba Herba Perlis sejak 2006 sesuai dengan persekitaran ekologinya yang mengekalkan hutan semulajadi.

Lokasi yang terletak di Sungai Batu Pahat, Kangar ini dikelola oleh Jabatan Perhutanan Perlis dan secara rasminya dibuka kepada umum menjelang 1999.

- Advertisement -

Pengasas Perlis Nature and Wildlife (PNW), Syamil Abd Rahman, berkata, menerusi aktiviti tersebut, ia dapat memberi pendedahan kepada pengunjung berkaitan keindahan bumi Perlis khususnya di lokasi demikian.

“Pameran ini memberi pendedahan kepada penemuan-penemuan menarik yang mempunyai nilai warisan tinggi bagi Perlis Geopark seperti cicak zebra bent-toed gecko, gerbang batu semulajadi (gerbang laut), batu fosil stromatolite dab tengkorak purba keteri.

Aktiviti Natures A-B-C bersama-sama kanak-kanak di Taman Herba Perlis.

“Program ini dimulakan dengan pameran sempena sesi penilaian Aspiring Perlis Geopark ke arah penarafan kebangsaan awal bulan lalu.

“Atas permintaan ramai di media sosial, program ini diteruskan di hujung minggu dengan pengisian aktiviti seperti pembelajaran kanak-kanak untuk spesies flora dan fauna, penjelajah muda dan night walk,” katanya.

Tambah beliau, Young Explorer, Natures A-B-C dan Forest After Dark antara tiga sajian utama kepada pengunjung di lokasi tersebut pada Sabtu dan Ahad, 23 hingga 24 September lepas.

Syamil Abd Rahman

Menurut Syamil, sepanjang dua hari aktiviti demikian diadakan, hampir 200 pengunjung hadir menyertai.

“Walaupun tempoh dua hari itu keadaan cuaca kurang baik namun pengunjung tetap hadir menyertai. Ada yang datang bersama rombongan seperti hari pertama kita menerima kunjungan dari pelajar sekolah, keluarga dan ada yang hadir secara individu.

“Rata-rata pengunjung amat teruja dengan keunikan yang terdapat di Rimba Herba Perlis dan tidak menyangka bahawa bukan sahaja dapat mempelajari mengenai tumbuh-tumbuhan herba tetapi pelbagai spesies flora dan fauna,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/9/2023

- Advertisement -