Tebus maruah MN dikhianati, PM dari Pahang dijatuhkan

PRK N.36 DUN Pelangai

- Advertisement -

BENTONG: PRK N.36 DUN Pelangai mesti dijadikan kesempatan oleh para pengundi untuk menebus maruah terhadap perbuatan berdolak-dalih para pemimpin Umno kepada agenda Penyatuan Ummah.

Bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu perlu dilakukan dengan memastikan undi diberikan kepada Calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Kasim Samat pada 7 Oktober nanti.

Jelas beliau, inilah masanya orang Melayu menyatakan pendirian terhadap mandat diberikan oleh rakyat yang ditipu oleh Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi termasuk sebagaimana berlaku di Pahang.

Menurut beliau, rakyat khususnya orang Melayu sudahpun bersatu padu di mana mendukung kuat semangat Muafakat Nasional (MN) di mana di Pahang ia bermula di PRK P.078 Cameron Highland tahun 2019 dahulu.

Malah pada PRU15 lalu, sekitar 80 peratus pengundi di negeri ini mengundi berdasarkan hasrat ‘No Anwar, No DAP’ hingga menyaksikan PN dan Barisan Nasional (BN) masing-masing mendapat 17 kerusi.

“Bermakna rakyat Pahang juga telah berada dalam gelombang kebangkitan dan kesedaran penyatuan orang-orang Melayu dan umat Islam,” ujarnya menyifatkan jumlah 34 kerusi itu membolehkan kerajaan orang Melayu yang kuat memimpin di Pahang.

Bagaimanapun malangnya, Umno-BN telah bertindak bergabung dengan DAP-Pakatan Harapan (PH) yang menang lapan kerusi di negeri itu dan menolak bersama PAS-PN untuk menubuhkan Kerajaan Negeri Pahang.

Tan Sri Annuar turut mengajak sokongan di Pelangai dengan diberikan undi kepada PN bagi menebus maruah rakyat Pahang apabila Perdana Menteri dari negeri ini iaitu Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dijatuhkan oleh Zahid Hamidi.

Malah ujar beliau, selepas PRU15, Zahid bertindak melarikan kerusi-kerusi BN apabila menafikan hak lebih separuh Ahli-ahli Parlimen Umno yang berpendirian mahu mengekalkan kerjasama Umno, PAS dan BERSATU.

“Dalam Malaysia ni tak ada satu negeri pun yang lahirkan tiga Perdana Menteri kecuali Pahang. Kedah ada dua, Penang ada dua. Yang terbaharu adalah Dato’ Sri Ismail Sabri. Dia mendokong kuat dan disokong oleh kami Menteri-menteri.

“Waktu itu nak mengekalkan penyatuan umat Melayu dan orang Islam. Supaya kita menjadi tonggak, kita menjadi tunjang kepada pentadbiran politik kita,” ujarnya pada ceramah sempena PRK tersebut di Dataran Purnama, Simpang Pelangai, di sini semalam.

Kepada ahli-ahli Umno dan pengundi BN khususnya, beliau menyeru sekiranya mereka tidak bersetuju dengan cara Zahid Hamidi menggunakan Umno bagi membunuh Umno, maka berikan undi kepada calon PN.

Begitu juga katanya, sekiranya mereka tidak bersetuju Zahid Hamidi menggunakan kesempatan untuk melepaskan kes-kes mahkamah yang dihadapinya secara peribadi, maka perlu memberikan undi kepada calon PN.

“Kalau kita tidak bersetuju Umno yang tidak lagi mendengar suara akar umbi, kalau kita merasakan Umno kita mahu perbetulkan, kalau kita rasakan Umno mahu kita kembalikan untuk bersama PAS dan BERSATU semula?

“Peluang terbaik bagi kita semua rakyat yang dulu 7,000 orang memberi undi pada BN, hendaklah kali ini bertekad dengan hati yang tulus ikhlas, hendaklah reda berjuang memberikan undi kepada Cikgu Kasim,” serunya. – HARAKAHDAILY 24/9/2023

- Advertisement -
- Advertisement -