Ahli Umno diseru sertai PAS untuk teruskan perjuangan

- Advertisement -

BENTONG: Ahli-ahli Umno perlu bersama dengan PAS berikutan Umno kini telah dirosakkan oleh para pemimpinnya yang berkepentingan, demikian seru bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa.

Menurut beliau yang kini sudah menyertai PAS, perkara itu sebagaimana pesanan pernah diungkapkan sendiri oleh bekas Presiden Umno, Tun Abdul Razak Hussein mengenai hal itu suatu ketika dahulu.

Tindakan itu juga ujarnya, kerana orang Melayu-Islam wajib terus mengumpulkan kekuatan dan sokongan mereka kepada usaha menyelamatkan perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air ini.

Katanya, haluan itu mesti dipilih sebagai ahli syahadah yang bertanggungjawab menjaga kepentingan agama dan mempertimbangkan sesuatu berasaskan agama semasa di dunia kerana ia akan disoal di Akhirat nanti.

Beliau mengakui sangat sayangkan Umno dan tidak pernah terfikir akan menyertai PAS, tetapi menegaskan bahawa soal kasih, sayang dan nostalgia tidak boleh terpisah dari tanggungjawab perjuangan agama, bangsa dan tanah air.

“Kita tidak mahu mengangkat DAP kerana dasar DAP, kita bukan benci pada individu dia. Bukan kerana soal Cina, bukan kerana soal bangsa. Tapi dasar DAP yang dia perjuangkan. Dia nak mengasingkan soal agama daripada tanggungjawab kerajaan.

“Dalam Perlembagaan DAP dia nak menghidupkan politik sekular. Dia nak memperjuangkan nak disamaratakan semua. Dia menolak Bumiputera! Dia perintah 22 bulan, apa benda dia tak buat?

“Daripada benda kecil, dia nak tukar buku teks, dia nak iktiraf semula Komunis, dia buat macam-macam dalam 22 bulan, kita sedih. Kita nak betulkan politik kita, kita letak ke tepi persengketaan sama kita Umno dan PAS berpuluh-puluh tahun.

“Akhirnya Umno, PAS, BERSATU bergabung, rakyat sokong. Masuk Pilihan Raya Kecil kita menang. Malah PAS dan BERSATU sokong Pak Long Mail (Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob) jadi Perdana Menteri. Masuk Pilihan Raya Umum, kita masih kuat sokongan.

“Lepas pilihan raya, (Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad) Zahid Hamidi bawa lari 30 kerusi untuk angkat dan nobatkan DAP menjadi kerajaan,” ujarnya ketika ceramah sempena PRK N.36 DUN Pelangai di Dataran Purnama, di sini semalam. – HARAKAHDAILY 24/9/2023

- Advertisement -