MUKTAMAR Tahunan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kali yang ke-69 pada tahun ini akan diadakan di Shah Alam pada tarikh 20-22 Oktober 2023. Kali terakhir Muktamar PAS Pusat diadakan di Shah Alam adalah pada 10 tahun yang lalu iaitu pada 22-24 November 2013 di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor manakala kali terakhir Selangor menjadi Tuan Rumah adalah pada tahun 2015 iaitu di Stadium Tertutup Kuala Selangor, Selangor pada 4-6 Jun 2015.
Pada asalnya, Muktamar Tahunan PAS pada tahun ini diputuskan untuk diadakan di Kelantan pada 3-5 Mei 2023 tetapi ianya ditangguhkan seperti mana yang telah diumumkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan sebelum ini kerana ingin memberikan laluan kepada Pilihan Raya Umum Negeri ke-15 (PRN-15), namun begitu lokasi Muktamar telah ditukarkan ke Shah Alam.
Dalam tempoh kurang dua bulan, persiapan dimulakan dengan PAS Pusat membuat keputusan untuk mengendalikan secara langsung dengan kerjasama PAS Negeri Selangor, dengan memilih Ideal Convention Centre (IDCC) di Shah Alam sebagai lokasi utama pelaksanaan muktamar bersekali dengan Dewan Ulamak PAS Pusat, Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Muslimat PAS Pusat manakala Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat dan Sidang Assabiqun PAS Pusat akan diadakan di Hotel De Palma, Shah Alam.
Muktamar Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat akan diadakan bermula pada 18 Oktober dan berakhir pada 19 Oktober manakala Muktamar Dewan Ulamak serta Konvensyen Dewan HImpunan Pendukung dan Sidang Assabiqun akan diadakan pada 19 Oktober.
Panitia Muktamar telahpun bersidang sebanyak tiga kali setakat ini yang mana Panitia Muktamar dipengerusikan oleh Datuk Seri Takiyuddin dan telahpun membentuk jawatankuasa panitia dan perjalanan persiapan yang mengikut perancangan yang telah ditetapkan sebelum ini.
KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Pengarah Panitia
Muktamar Tahunan PAS ke-69 – HARAKAHDAILY 21/9/2023