‘Amalkan politik asasi, tolak politik sensasi’

Mohd Zai Mustafa
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyifatkan kekalutan politik yang berlaku di Malaysia pada masa kini sewajarnya dihentikan bagi menumpukan usaha memperkukuhkan kestabilan politik dan ekonomi negara.

Hal ini berikutan pada 17 September lalu, sidang pengarang Berita Harian, New Straits Times dan Harian Metro telah menggesa agar kekalutan politik yang melanda di negara ini dihentikan segera.

Ketiga-tiga media tempatan itu turut menyatakan komponen Kerajaan Perpaduan serta pembangkang perlu duduk semeja bagi mencari kata sepakat dan memeterai memorandum persefahaman berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustaffa berkata, kestabilan kerajaan adalah asas kepada kemajuan sesebuah bangsa. Ia juga adalah teras tunjang yang menjadikan sesebuah bangsa itu hidup makmur, tenteram dan aman. 

- Advertisement -

“Budaya politik sensasi yang wujud di negara ini pada masa kini telah mendatangkan suasana ketidak-tentuan, meresahkan rakyat, menakutkan pelabur asing dan menghancurkan kestabilan politik serta ekonomi negara.,” katanya kepada HarakahDaily.

Tambah beliau, apabila hal itu berlaku, Malaysia akan menjadi rapuh dan hancur dalam sekelip mata. Keadaan ini menyebabkan rakyat sendiri yang menanggung beban walaupun telah menikmati keamanan dan kemakmuran sejak lebih 60 tahun lalu.

“Sehubungan itu, ahli politik negara ini perlu kembali kepada politik asasi iaitu menghormati kuasa rakyat menerusi kertas undi bukannya politik sensasi yang suka mengembar-gemburkan sesuatu perkara yang bukan-bukan demi meraih keuntungan dalam kekalutan,” tegasnya.

Mohd Zai memberitahu proses demokrasi pilihanraya parti yang menang atau diberikan tanggunjawab mentadbir negara sewajarnya dapat laksanakan amanah yang diberikan dengan sebaiknya bagi memenuhi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Di samping itu, tanggungjawab kerajaan juga adalah mewujudkan sistem demokrasi yang adil bukan sahaja kepada pihak kerajaan tetapi juga kepada pihak pembangkang agar sistem tidak pincang.

Beliau turut berpendapat bahawa penglibatan Raja-Raja Melayu bagi memayungi proses perdamaian politik adalah wajar dan baik. Namun begitu, proses tersebut mesti adil kepada semua pihak dan memerlukan persetujuan kerana melibatkan prinsip dan idealogi masing-masing.

“Perkara yang melibatkan Agama, Bangsa Melayu dan Raja memang sudah termaktub dalam perlembagaan. 

“Namun mempertahankan perkara tersebut merupakan hak rakyat majoriti yang tidak boleh dinafikan jika ianya dilihat terancam. Ianya tidak boleh dianggap sebagai ancaman.

“Sebelum ini pun pernah ada Raja-Raja Melayu yang terlibat dalam menyatukan perdamaian pemimpin politik seperti Tun Razak, Tun Abdullah dan Dato Seri Najib,” jelasnya.   

Mohd Zai menegaskan bahawa perdamaian mesti dirangka dengan jelas ke arah mana kestabilan politik negara kelak hendak dibawa.

Sekiranya ia merugikan agama dan umat Islam serta bangsa Melayu sudah pasti hal ini akan ditolak oleh rakyat.

“Oleh itu, kestabilan politik di negara ini mestilah berpaksikan kepada sokongan masyarakat, yang mana rakyat di Malaysia terdiri daripada Melayu Islam. Seandainya tidak mendapat sokongan, sudah semestinya sesuatu matlamat sukar dicapai,” hujahnya.

Beliau turut berpendapat sudah sampai masanya Raja-Raja Melayu mencadangkan perdamaian yang membawa kepada penyatuan ummah sebagai asas utama mewujudkan perpaduan masyarakat majmuk di negara ini.

“Ahli-ahli politik di negara ini pula perlu kembali kepada politik asasi iaitu menghormati kuasa rakyat menerusi kertas undi bukannya politik sensasi yang suka menggembar-gemburkan sesuatu perkara yang bukan-bukan demi meraih keuntungan dalam kekalutan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/9/2023

- Advertisement -