‘Saya tunggu bila hendak bicara’ – Presiden PAS

Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang - Foto Jabatan Penerangan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merakam ucapan syabas kepada pegawai polis yang memberi layanan baik sepanjang proses siasatan dihadapinya sebelum ini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, pegawai polis termasuk di Bukit Aman memberi layanan yang baik dan mesra.

- Advertisement -

“Pegawai polis layan saya dengan baik. Saya ucapkan syabas. Saya tunggu bila hendak bicarakan tuduhan terhadap saya.

“Kalau dikenakan denda nanti, tentunya saya akan hilang kelayakan sebagai ahli parlimen. Dan selepas itu tentunya akan diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Kalau berlaku PRK di Marang boleh.. Arau (Dato’ Seri Shahidan Kassim) bertanding di Marang,” katanya yang menarik perhatian ramai ketika perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat, hari ini.

Baru-baru ini, polis menyiasat kenyataan Presiden PAS yang didakwa mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan ketika ceramah di Markas PAS Bakri, Muar semasa kempen PRK baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, dilaporkan berkata, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Menurutnya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Tuan Guru Abdul Hadi ketika menjawab celahan Shahidan sebelum itu berkata, biarpun seseorang itu terlepas daripada hukuman mahkamah di dunia, dia akan berdepan pula mahkamah di akhirat.

“Bagi mereka yang beriman mahu dakwaan kesalahan diadili di mahkamah di dunia kerana di akhirat lebih berat,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Marang berharap kerajaan bertindak terhadap kartel yang mengawal harga daging.

Menurutnya, penternak menghadapi masalah hendak menurunkan harga daging kerana menghadapi kartel yang membekal makanan ternakan dengan harga mahal.

Katanya, bagi mengatasi masalah itu kerajaan perlu berani bertindak terhadap kartel yang meraih keuntungan.

“Jangan pula menteri naik atas belakang lembu, kena bertindak bagi menghadapi kartel sehingga menyebabkan harga daging meningkat,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/9/2023

- Advertisement -