Akhirnya Gelombang Hijau tembus ke Johor

- Advertisement -

PRK Pulai dan Simpang Jeram semestinya menjadi mimpi ngeri kepada gabungan PH-BN kerana ia menjadi petunjuk yang jelas, Gelombang Hijau telah menembusi Johor. Sebelum ini di dalam PRU ke-15, Gelombang Hijau yang mewarnai politik Semenanjung hanya melanda negeri-negeri Pantai Timur dan Utara Semenanjung. Gelombang ini melanda ke Selatan Semenanjung sehingga ke bahagian Utara Selangor dan mewujudkan riak kecil gelombang di Melaka. Manakala di Johor hanya dua kawasan Parlimen dimenangi oleh PN, itupun bukan disebabkan Gelombang Hijau.

Seperti yang pernah saya kemukakan dalam tulisan yang lalu, Gelombang Hijau bermaksud kesedaran dan kecenderungan pengundi-pengundi Melayu-Islam untuk mengundi secara terarah (iaitu kepada PN), sebagai respons terhadap pengundian secara terarah pengundi-pengundi Cina kepada PH. Cuma pada PRU ke-15, peratusan pengundi-pengundi Melayu-Islam yang mengundi terarah kepada PN secara puratanya sekitar 54 peratus. Di negeri-negeri Pantai Timur dan Utara Semenanjung peratusan pengundi-pengundi Melayu-Islam mengundi PN lebih tinggi sekitar 70 peratus.

Di dalam PRN enam negeri baru-baru ini, Gelombang Hijau ini mula melanda negeri-negeri bahagian Tengah Semenanjung, iaitu Selangor dan Negeri Sembilan. Peratusan pengundi-pengundi Melayu-Islam yang mengundi secara terarah kepada PN meningkat di kedua-dua negeri ini. Anggaran peratusan pengundi-pengundi Melayu-Islam yang mengundi PN di Selangor dan Negeri Sembilan sudah mencecah 70 peratus. Manakala di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Pulau Pinang, peratusan pengundi-pengundi Melayu-Islam mengundi PN mencecah 80 peratus.

Tinggal Negeri Johor yang tidak dapat diukur sejauh mana Gelombang Hijau telah sampai ke sana pada masa kini. Dalam PRN Johor tahun 2022, kecenderungan pengundi-pengundi Melayu-Islam terbahagi dua, iaitu kepada BN dan PN. Kemudian, di dalam PRU ke-15 pula, tidak dapat dilihat pengundi-pengundi Melayu-Islam di Johor mengundi secara terarah kepada sesebuah gabungan parti politik. Malah PN sendiri hanya menang dua kerusi Parlimen Johor iaitu Pagoh atas faktor calon (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Mersing atas kekuatan PN yang sedia ada di kawasan ini.

Menarik sekali, keputusan PRK Pulai dan Simpang Jeram boleh menjadi petunjuk yang jelas, Gelombang Hijau telah mula melanda Johor. Kedua-dua kawasan ini adalah  kubu kuat bukan sahaja PH tetapi juga BN. Sejak dua PRU yang lalu PH telah bertapak kukuh di Pulai dan Simpang Jeram. Demikian juga BN khususnya Umno, bukan sahaja kedua-dua kawasan ini dahulunya adalah kubu kuat Umno, tetapi juga Umno sememangnya mempunyai ahli yang ramai di sini. Bagaimanapun, keputusan PRK semalam menunjukkan PN memperolehi sekitar 75 peratus sokongan Melayu-Islam.

Pengundi-pengundi Melayu-Islam di Pulai dan Simpang Jeram sudah mengikuti kecenderungan pengundi-pengundi Melayu-Islam di negeri-negeri yang lain, untuk mengundi secara terarah kepada PN. Kecenderungan 75 peratus pengundi-pengundi Melayu-Islam mengundi PN, sekiranya situasi ini melanda di 26 kawasan Parlimen dan 56 kawasan DUN Negeri Johor, tidak mustahil PN boleh meraih kemenangan yang besar. Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram hanyalah kerusi marginal yang mempunyai komposisi pengundi Melayu-Islam yang tidak begitu besar.

Saya yakin, pimpinan-pimpinan gabungan PH-BN semakin bimbang dengan kecenderungan pengundian secara terarah pengundi-pengundi Melayu-Islam ini atau disebut Gelombang Hijau. Sekiranya berlaku PRU ke-16 ketika ini, dengan 75 peratus sokongan pengundi-pengundi Melayu-Islam kepada PN, dengan kehendak Allah S.W.T, PN boleh menawan sejumlah besar kerusi-kerusi Parlimen Semenanjung yang bermajoriti Melayu. Dengan pengertian lain, PRK di Johor semalam menunjukkan Gelombang Hijau telah melanda seluruh Semenanjung. 

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 11/9/2023 

- Advertisement -
- Advertisement -