Kelantan hadiahkan banglo buat juara tilawah antarabangsa

Muhammad Qayyim Nizar Sarimi
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan menghadiahkan sebuah banglo kepada juara pertandingan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-63 baru-baru ini, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi.

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, pemberian hadiah itu sebagai menghargai jasa qari terbabit yang berjaya mengharumkan nama Kelantan di peringkat antarabangsa. 

- Advertisement -

Menurutnya, banglo berkenaan bernilai RM428,500 terletak di Tanah Merah dan dijangka diberi dalam masa terdekat.

“Ia sebagai menghargai qari yang berjaya di peringkat antarabangsa dan kebangsaan. Pemberian hadiah kepada juara Tilawah al-Quran sudah dilaksanakan sebelum ini. 

“Setakat ini, kita sedang meninjau banglo yang dibina anak syarikat kerajaan negeri di Tanah Merah,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu  ialah Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Mohd Nassuruddin

Baru-baru ini Muhammad Qayyim Nizar muncul juara bagi kategori lelaki pada Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-63 dengan memperolehi markah 94.96 peratus.

Sebelum ini, kerajaan negeri menghadiahkan banglo kepada johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa ke-54, Anuar Ghazali.

Selain itu, juara tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa pada 2006, Wan Ainuddin Hilmi Abdullah turut mendapat hadiah banglo.

Mohd Nassuruddin berkata, al-Quran merupakan panduan buat umat Islam serta dituntut untuk membacanya dengan tajwid yang betul dan dengan suara elok.

Beliau turut memuji bacaan Muhammad Qayyim yang mampu menandingi qari yang masyhur peringkat dunia biar pun beliau seorang OKU penglihatan.

“Adik Muhammad Qayyim bacaannya boleh menandingi qari masyhur di dunia,” katanya. – HARAKAHDAILY  6/9/2023

- Advertisement -