Remaja tertusuk buluh dapat perhatian MB 

Nassuruddin melawat mangsa di Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai, Kelantan.
- Advertisement -

KUALA KRAI: Seorang remaja yang tertusuk buluh sehingga menembusi bahagian perutnya akibat kemalangan pada Rabu lepas turut mendapat perhatian Menteri Besar (MB) Kelantan,  Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.

Beliau hadir meluangkan masa untuk menziarahi adik Mohammad Ammar Hazriq Zuhan, 13, di Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai,  malam kelmarin.

- Advertisement -

Nassuruddin diiringi anggota Exco kerajaan negeri Hilmi Abdullah, Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latif Abdul Rahman dan Adun Manek Urai Mohd Fauzi Abdullah.

Menurutnya, beliau bersimpati terhadap kemalangan yang menimpa Hazriq berharap remaja terbabit kembali sembuh.

“Terima kasih kepada pihak pengurusan Hospital Sultan Ismail Petra di atas layanan yang baik. Sama-sama kita mendoakan agar adik Hazriq kembali sembuh, amin,” katanya.

Dalam kejadian malang tersebut, Hazriq tertusuk buluh di bahagian badannya selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah pacuan empat roda yang membawa muatan buluh yang diparkir di Kilometer 29 Jalan Gua Musang-Jeli.

Dalam kejadian pada jam 9.30 malam, perut mangsa yang merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bendahara Jerek, Gua Musang tertikam buluh sepanjang dua meter. – HARAKAHDAILY 21/8/2023

- Advertisement -