Siapa PM baharu Thai: Pita atau Srettha?

Siapakah yang akhirnya bakal dilantik sebagai Perdana Menteri baharu Thailand antara Pita Limjaroenrat (kanan) dan Srettha Thavisin? (FOTO: Thai Examiner)
- Advertisement -

BANGKOK: Persoalan kian panas di Thailand tentang isu siapakah akhirnya yang akan dilantik sebagai Perdana Menteri baharu negara itu, antara Pita Limjaroenrat dan Srettha Thavisin.

Ia adalah susulan Mahkamah Perlembagaan Thailand pada hari ini, Rabu (16 Ogos) menolak permintaan daripada parti diterajui Pita, Move Forward yang memenangi pilihan raya umum negara itu untuk mengkaji semula keputusan parlimen yang menghalang calon Perdana Menterinya daripada dicalonkan semula.

- Advertisement -

Mahkamah dalam keputusannya itu juga berkata, ia enggan menerima kes itu kerana ia dikemukakan oleh sekumpulan lebih 20 individu yang tidak termasuk calon Perdana Menteri itu sendiri.

“Hak mereka tidak dicabuli dan mereka tidak mempunyai hak untuk memfailkan aduan,” ujar kenyataan mahkamah tersebut mengenai pempetisyen, dalam keputusan sebulat suara.

Langkah yang diumumkan itu kini menghalang sebarang harapan Move Forward yang progresif menerajui kerajaan seterusnya dan membuka jalan kepada badan perundangan untuk mengadakan satu lagi undian terhadap seorang lagi calon Perdana Menteri pada minggu ini, lapor Reuters.

Parlimen dijangka menjadualkan pengundian dalam masa beberapa hari mengenai pencalonan Srettha, 61, sebagai calon perdana menteri  baharu negara itu.

Thailand telah berada di bawah kerajaan sementara selama lima bulan dan parti terbesarnya di parlimen itu  tidak dapat membentuk kerajaan selepas Pita, 42, ditolak untuk dilantik sebagai Perdana Menteri oleh ahli parlimen yang bersekutu dengan tentera diraja.

Terdahulu, gabungan parti Move Forward telah membuat petisyen kepada mahkamah untuk memutuskan kesahihan keputusan 19 Julai lalu oleh penggubal undang-undang untuk menghalang Pita daripada dicalonkan semula sebagai Perdana Menteri Thai buat kali kedua selepas kegagalannya pada percubaan pertama.

Move Forward memenangi pilihan raya pada Mei lepas dengan meraih sokongan yang banyak daripada golongan belia dan penduduk bandar untuk platform dasar liberalnya, yang menimbulkan ancaman kepada monopoli perniagaan dan kuasa politik tentera.

Namun, usahanya untuk membentuk kerajaan gagal mendapat sokongan yang mencukupi, dengan bantahan luas terhadap rancangannya untuk meminda undang-undang yang direka untuk melindungi monarki daripada kritikan. – HARAKAHDAILY 16/8/2023

- Advertisement -